Rambutku mengerbang ditiup angin tatkala Kawasaki Kip itu membelah jalan raya untuk pulang ke rumah. Beginilah rutin abang apabila dia pulang bercuti ke kampung. Dia akan menghantar dan mengambilku di sekolah dengan motorsikalnya. Aku pula sangat suka dihantar abang. Dan aku akan sangat sedih jika abang terpaksa pulang ke kampus. Abang sedang menuntut di sebuah universiti di selatan tanah air. Sebenarnya abang jarang bersama denganku. Sejak dari tingkatan satu, iaitu setahun selepas aku dilahirkan, abang telah pun tinggal di asrama. Kemudian, selepas tamat tingkatan 5, abang melanjutkan pelajaran pula ke universiti. Jadi, aku jarang dapat bersama dengannya.
Abang seorang yang sangat gigih. Keluarga kami bukanlah keluarga yang berada. Jadi, setiap kali cuti, abang akan bekerja sambilan samaada di kedai tayar milik kawan ayah, atau di stesen minyak di hentian lebuh raya berdekatan dengan rumah kami. Malah, abang juga turut bekerja sambilan semasa di kampus. Membaiki komputer, membantu pensyarah, jualan langsung, malah berniaga di bazar ramadhan juga.
Abang juga pandai bermain alat muzik. Dan dia suka mendendangkan sebuah lagu yang ditujukan khas buatku. Pesan Abang nyanyian Sudirman.....
Setiap kali ingin pulang semula ke kampus, abang akan menghantarku ke sekolah dahulu. Selepas aku mencium tangannya, abang akan mengusap kepalaku sambil berkata, "Ingat abang, tetap sayang." Kemudian, selepas memastikan aku masuk ke kelas, barulah abang akan memecut motorsikalnya untuk pulang.
Dan kini, abang sudah pun bergelar seorang jurutera yang berjaya. Berkat doa dan nasihat serta pengorbanannya, aku dan adik beradikku yang lain juga turut berjaya dalam kehidupan masing-masing. Masihku ingat mama pernah bercerita bahawa ketika di kampus, abang hanya makan nasi dan kuah sahaja tanpa lauk untuk berjimat. Hal itu hanya diceritakan secara tidak sengaja kepada mama selepas abang bekerja sebagai jurutera.
Kawasaki Kip itu tiada lagi. Namun, sesekali, kenangan itu bertandang di ruang ingatanku. Menyebabkan aku menghargai segala yang ku miliki kini.
2 comments:
percubaan pertama menulis cerpen di sini
=)
inspirasi dari lagu Pesan Abang yang dinyanyikan oleh pelajar sekolah rendah sri pintar untuk ihtifal nanti
teringat lagu n masa zaman sekolah dl..
suka! suka!suka!
Post a Comment