About Me

My photo
shah alam, selangor, Malaysia
seorang manusia biasa, yang berusaha membuat sesuatu yang laur biasa. seorang pelari yang sedang berlari di sebuah trek kehidupan. aku mungkin tidak mampu menjulang senjata, menyumbang emas permata. namun yang ku tahu aku ingin mati sebagai pejuang agama, dalam tekad untuk memburu redhaNya

Friday, December 31, 2010

mengapa dengan dakwahku??

Mengapa kadangkala aku rasakan dakwahku sukar, jalannya payah, mehnahnya banyak, durinya tajam dan jalannya penuh liku? Mengapa amat sukar untuk ku dekati mereka yang memerlukan sentuhan tarbiyyah dalam diri mereka? Mengapa begitu keras hati mereka? Begitu dingin layanan mereka, begitu payah untuk mendekati mereka? Apa cara ku salah? Atau mereka yang tergolong dalam orang-orang yang hati mereka telah dihijab oleh Allah? Tidak! Sesungguhnya siapa aku untuk menilai mereka? Siapa aku untuk mengatakan mereka golongan yang disingkir Allah dari pintu rahmatNya? 

Jika bukan itu faktanya, apa sebenarnya yang menjadi hijab dakwahku? Mengapa mereka tidak memperdulikan aku? 

Ku duduk merenung diri. Satu persatu ingatan kuputar. Mengimbas kembali detik demi detik perjalanan dakwahku. Ku selak helaian waktu, satu persatu. Dengan zikir, dan fikir, ku jejak kembali tapak-tapak langkahku. Bermula dengan peristiwa-peristiwa lalu, ku kaji segenap penjuru. Bermula dengan niatku melangkah ke situ. Untuk apa aku berada di situ? Adakah kerana nama dan sanjungan? Atau kerana kehadiran si dia yang menarik perhatian? Atau kerana aku punya kelebihan yang ingin ku pamerkan? Apa sebenarnya matlamat ku ketika memijak langkah yang paling pertama itu? Di situ banyak ku temui kekeliruan. Banyak matlamatku yang samar. Bercampur aduk antara kepuasan diri dan redha ilahi. Kutemui jawapan yang pertama.....mengapa dengan dakwahku.....

Ku selam lagi ke dasar nurani. Apa lagi yang lompong dalam dakwahku? Ku singkap bab seterusnya, bagaimana hubungan ku dengan keluargaku. Baru ku tersedar, masa ku lebih banyak di luar. Bersama sahabat-sahabat menyeru masyarakat. Sedang keluargaku, terpinggir dari lingkungan dakwahku. Sedang pesan Imam Hassan Al-Banna, dakwah yang paling dekat adalah dengan keluarga mu. Sedang keluargaku amat sederhana dalam beragama. Ibu bapa ku bukan seperti orang tua As-syahid Ibnu Khattab yang tegar berpisah berbelas tahun dengan anaknya kerna yakin anaknya sedang memburu syurga. Sedang redha Allah padaku adalah atas redha mereka......Astaghfirullah....

Ku cari lagi kelemahan diri. Bab seterusnya tertera dalam benak ku, hubunganku sesama muslim. Tidak sedikit ku sakiti hati sahabatku. Tidak kurang yang ku umpat dan ku keji. Prasangka buruk berlegar di hati, nyanyian syaitan yang dengki. 

Di penghujung kajian, ku telaah bab terakhir, kunci segala persoalanku. Bab terpenting dalam merungkai persoalan, mengapa dengan dakwahku. Bab hubunganku dengan penciptaku. Berapa banyak dosa ku yang kadangkala ku sedari? Tidak termasuk yang tidak ku sedari. Dari mana sumber rezki ku? Bagaimana solat fardhu ku? Apatah lagi amalan sunatku? Dimana syukurku ketika senang? Berapa banyak keluhan dan rungutanku ketika sukar? Sekuat mana kebergantunganku padaNya? Dan banyak lagi persoalan-persoalan yang tidak terjawab oleh hatiku, apatah lagi akal pendekku. Yang menyedarkan aku bahawa diri kerdil dengan segala pinjaman nikmat ini bukan siapa-siapa. Yang membuatku bertanya dan terus bertanya, layakkah aku bergelar Daie, pewaris perjuangan nabi? 

Dengan segala jawapan ini, dengan segala hakikat kelemahan ini, pasti akan terasa diri ini sangat tidak layak untuk berada di sini. Tetapi ini tidak bermakna aku harus berhenti, mengundur diri, atau lari dari jalan ini. Allah telah memilihku, jadi aku harus memperbaiki diriku. Harus menampal apa yang lompong, menjahit apa koyak, menambah apa yang kurang dan mengurang apa yang terlebih. Jalan ini tidak mudah, kerna jalan ini jalan ke syurga.......

Mama, I'll be home soon.....insyaallah

Wednesday, December 29, 2010

kader dakwah

sang Murabbi

Politik Tak Penting? Yea Ke?

Sambil berbual-bual bersama beberapa sahabat sebentar tadi (selepas post entry yang pertama) berkenaan dengan kepincangan sistem di Malaysia (dari sitem pemerintahan hingga sistem perparitan) saya jadi teringat akan perbualan abang saya bersama dua orang pelajar Master baru-baru ini. Saya yang dikategorikan sebagai budak kecil @ budak hingusan (kerana Degree pun tak habis lagi, mereka Master dan bakal Master) hanya menjadi pendengar sahaja. Pada mulanya berkisar tentang projek yang ingin dilaksanakan, yang mana saya agak kurang berminat dan lebih menumpukan perhatian pada Char Kuew Teow di dalam pinggan. Tiba-tiba topik perbualan menyimpang kepada masalah sistem pentadbiran di sektor awam dan akhirnya meleret kepada isu politik semasa. Yang mengecewakan saya adalah (mungkin saya sahaja yang kecewa dan anda tidak) adalah apabila salah seorang pelajar sarjana berkenaan berkata "owh politik, saya tak campur. Malas nak ambil tahu." Inikah sikap seorang bakal ahli akademik yang akan membangunkan ssebuah negara. Pada fikiran saya sia-sia sahaja beliau mengkritik dasar-dasar kerajaan, segala sistem yang ada dan sebagainya jika beliau menolak satu-satunya elemen yang mampu mengubah segala kritikan beliau itu. Tapi apa yang nak dihairankan. Kerana beliau merupakan graduan sebuah universiti tempatan yang saya istilahkan sangat cemerlang dalam melahirka "robot manusia", modal insan yang hanya tahu bekerja dan meletakkan wang dan semangat kesetiaan kepada bangsa melebihi segala-galanya. Mungkin kerana beliau belum lagi menjadi seorang pembayar cukai yang akan mengeluh apabila wangnya digunakan oleh kerajaan untuk membeli bunga api untuk dibakar pada hari Kebangsaan atau mungkin juga kerana beliau belum menjadi seorang bapa yang akan gelisah melihat pergaulan bebas anak gadisnya di Pusat Latihan Khidmat Negara? Kerana itu, beliau merasakan tidak perlu untuk mengambil tahu akan perkembangan politik negara. Terlupa saya ingin bertanya adakah beliau sudah pun mendaftar sebagai pengundi. Tetapi berdasarkan pendapat beliau saya rasakan beliau mungkin tidak pernah berdaftar sebagai pengundi. Jika benar, maka beliau adalah segelintir dari golongan masyarakat yang akan saya persalahkan atas tertegaknya dasar-dasar yang tidak masuk akal, penyelewengan wang cukai yang saya bayar pada kerajaan dan segala masalah yang berkaitan dengan sistem dalam masyarakat. Termasuk kebejatan sosial yang sedang membarah didalam masyarakat kita hari ini.

Mengapa saya menyalahkan beliau dan "rakan-rakan seangkatan" beliau yang menolak untuk ambil peduli tentang politik? Kerana elemen yang mampu mengubah sesuatu dasar dan sistem sesebuah kerajaan adalah politik. Dalam pengkajian saya tentang sitem pemerintahan sesebuah negara, saya menemukan dua elemen yang penting dalam penguasaan sesuatu kaum atau golongan ke atas sesebuah negara iaitu melalui politik dan ekonomi. Di dalam Islam sendiri ada menegaskan bahawa "dirikanlah agama dan tadbirlah (siasatun)  dunia". Kita disuruh mentadbirr dunia yakni bersiasah dalam masa yang sama menegakkan agama. Dan salah satu elemen dalam siasah adalah politik (refer buku2 karangan Sa'id Hawwa berkenaan persoalan negara Islam).

Kesimpulannya, mungkin ada yang merasakan bahawa politik itu tidak penting. Saya tidak mengatakan bahawa politik adalah segala-galanya tetapi banyak perkara yang memerlukan kita untuk berpolitik. Seperti pelajar sarjana tadi,dalam usahanya untuk mengambil hati pensyarah sahaja beliau sudah pun berpolitik. Di mana ada kata pimpin, di situ pasti ada politik

wallahualam

saat itu akan tiba

saat waktu itu tiba
tiada siapa dapat meneka
tiada tangan dapat membantu
tiada saudara dapat menolong

saat waktu itu tiba
nafas tersekat dikerongkong
tiada lagi harta menimbun
tiada lagi keluarga tempat bergantung

tua bukan syaratnya
sakit hanyalah asbab semata
nyatanya
saat waktu itu tiba
segala sesal tiada guna
segala taubat tidak diterima

kini baru tersedar
diri ini bukan siapa-siapa
umur usia yang dipersia
harta keji yang terdampar
hanya menjadi beban semata

wahai jasad yang tidak bermaya
kakulah kau di lahad sana
sedang roh yang derhaka
tunggulah datangnya mereka
untuk menyeksa
sedang mereka yang setia
berehatlah kau di alam sana
sementara menunggu janji Tuhan mu yang Maha Esa

Saturday, December 25, 2010

second post

Entry kedua untuk malam ini. Tidak sampai berapa minitkan? Terasa banyak pula yang ingin saya kongsikan malam ini. Mungkin blog ini akan menyepi selama beberapa waktu.Jadi saya cuba untuk berkongsi sebanyak yang saya mampu. Atau mungkin juga blog ini akan sepi selamanya seandainya masa saya untuk "pulang" sudah tiba. Semoga perkongsian yang tidak seberapa ini dapat menemani saya di kala saya ketakutan di sana.

Pernahkah anda mengalami situasi di mana awak mengharapkan seseorang datang memeluk anda, menyatakan kata-kata semangat selepas mendengar luahan perasaan anda, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya? Orang lain datang kepada awak dengan pipi beranak sungai dengan air mata, suara tersekat-sekat lalu memeluk untuk meminjam kekuatan dari anda yan sebenarnya mengharapkan perkara sama dari orang lain? Seingat saya , saya telah mengalaminya sebanyak dua kali dalam hidup. Ini setakat yang saya ingat.

Kali pertama ketika diploma iaitu ketika pulang dari mengambi peperiksaan. Subjek yang sangat susah ketika itu. Saya sangat runsing dan mengharapkan ada orang yang akan menaikkan semangat saya. Alangkah baiknya jika ada orang berkata begitu dan begini kepada saya. Tabiat saya yang suka berjalan sambil berfkir saya pergunakan sepenuhnya sambil mencari wajah-wajah yang boleh saya jadikan crying shoulder. Tetapi, sesampainya di kolej, jiran sebelah bilik meminta saya kebiliknya. Katanya, rakannya sedang menangis kerana tidak dapat menjawab peperiksaan tadi dengan baik. Agak tragik bagi saya. Tetapi entah kekuatan dari mana saya gagahkan jua untuk berjumpa dengannya. Dan seperti persoalan tadi, apa yang saya ingin orang lain nasihatkan pada saya, itulah yang saya nasihatkan padanya. Seolah-olah bercerita pada diri sendiri.

Kali kedua adalah pada petang tadi. Seorang sahabat tiba-tiba datang lalu terus memeluk saya sambil menangis. Tergamam, saya hanya mampu menepuk belakangnya sambil menyuruhnya bersabar. Allahurabbi....Malam tadi baru sahaja saya menangis seorang diri di atas sejadah tanpa mampu berdoa apa-apa. Seolah-olah tiada kata yang mampu saya ungkapkan untuk memohon kepadaNya lagi. Tetapi Dia Maha Mendengar walau tanpa sepatah kata yang terluah dari bibir saya, yag dapat saya ungkapkan untuk meminta bantuanNYa. Sangat benar bahawa Dia lebih dekat dari urat nadi kita sendiri.

Kesimpulannya, kadang-kadang dia menghantarkan orang yang lebih lemah untuk kita menjadi kuat. Bila kita mengajar, kita akan belajar. Bila kita menasihati, orang yang lebih layak mendengar adalah diri kita sendiri. Allah menunjukkan kasih sayangNya dalam pelbagai cara. Samaada melalui perantara atau diri kita sendiri. Tetapi terpulang kepada kita untuk menerima kasih sayang itu atau sebaliknya.

layang-layang

Dalam perjalanan sebuah kehidupan, manusia selalu memandang hidup itu dalam sudut pandang yang berbeza. Pelbagai analogi diutarakan menurut perspektif masing-masing berdasarkan pengalaman yang telah ditempuhi. Kadang-kadang seseorang manusia itu akan memandang kehidupan dari sudut yang berbezabergantung kepada apa yang ditempuhinya pada hari itu.

Hari ini, saya memandang kehidupan dengan cerita yang lain. Boleh jadi, esok dengan cerita yang lain pula. Tetapi apa yang ingin saya kongsikan hari ini adalah berdasarkan pengalaman, pengamatan dan apa yang daya tempuhi hari ini.

Dan hari ini, saya memandang manusia dan kehidupan seperti satu layang-layang. Pada mulanya ia terbang rendah, yakni pada awal usia kehidupannya. Lama kelamaan ia semakin tinggi dan harapannya adalah ingin mencapai langit. Tetapi, ia terikat dengan tali yang dipegang tuannya. Kadangkala, ia memberontak untuk lepas dari tali tersebut, supaya ia dapat terbang lebih tinggi. Tetapi, kadangkala, tanpa ia sedar tali itu selalu menyelamatkannya apabila ia dihembus angin kencang. Apa akan jadi sekiranya tali itu terputus? Tentunya, ia akan terlepas dari tuannya. Memang ia akan merasa bebas tetapi, kebebasa itu hanya sementara. Akhirnya, semakin hari, setelah puas dihembus angin dan taufan, dibakar terik mentari dan degigit dingin malam, layang-layang itu akan rosak dan semakin rosak. Akhirnya,ia akan terdampar di tanah, tidak berguna lagi. Hilang semua angannya untuk menggapai langit. Di kala itu, tuannya tidak lagi mempedulikannya kerana tuannya masih punya layang-layang yang lain, yang mungin lebih cantik dan hebat. Yang takut terputus talinya, terlepas dari jagaan tuannya. Dan layang-layang yang baru itu, akan kembali kepada tuannya dalam keadaan baik dan selamat. Dan tuannya akan terus menjaganya selagi mana ia kembali dalam keadaan baik kepada tuannya.

Layang-layang = Manusia
Angin = Ujian / dugaan
Tali = Iman
Tuan = Allah swt

Thursday, December 23, 2010

ku mohon kekuatan

Hari yang bercampur baur. 2 jam bersama adik-adik di Sri Pintar agak memenatkan. Pertama kali mengendalikan slot secara bersendirian memberikan suatu pengalaman yang sukar dilupakan, apatah lagi dalam keadaan peserta yang berbeza umur, saya agak pening dalam mencari rentak. Betul kata Kak Di, mengendalikan pelajar sekolah menengah lebih mudah dari menangani pelajar rendah bawah. Walaupun saya biasa menjaga anak-anak saudara yang seramai 6 orang itu, tetapi dalam keadaan peringkat umur yang berbeza, saya agak bingung. Dan akhirnya saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk slot hari ini. Buat lah setakat yang termampu.
Itu yang pertama. Yang kedua, perjalanan jauh dari Shah Alam ke Kampung Melayu Subang. Sepatutnya tidaklah jauh mana tetapi dek kerana "pilot" dan "co-pilot" sangat "mahir" dengan jalan tersebut, perjalanan mengambil masa hampir atau lebih dari dua jam menaiki motorsikal. Dan ketika pulang, saya terpaksa menunggang berseorangan kerana Kak Yun perlu memandu kereta untuk dibawa oulang ke Shah Alam. Dan kerana keletihan, saya hampir terbabas ketika mengambil selekoh. Jadi, moral of the story is do not ride or drive if you are tired.....

Keletihan, kelaparan... sesampai di rumah, berita "gembira" menyapa telinga apabila Kak Nur memberitahu bahawa dia tidak dapat menemani saya untuk perjalanan ke Melaka hujung minggu ini. Yang saya khuatirkan akhirnya terjadi. Mungkin kerana kepenatan, terdetik di hati saya, "mengapa terlalu banyak rintangan untuk saya pergi berubat? Adakah Allah tidak redha dengan tindakan saya ini? Atau.....saya tidak mampu berfikir lagi. Semoga saya tidak berburuk sangka kepada Nya. Kerana hanya Dia yang saya ada........

Wednesday, December 22, 2010

adikku sayang

duhai adikku sayang
jika kau dipertemukan cinta
yang cukup mengindahkan
yang cukup mempesonakan
janganlah kau mudah tertawan
boleh jadi
ia bukan seperti yang kau fikirkan
bukan seperti yang kau angankan

duhai adikku sayang
jika kau ingin mencari teman
carilah yang menyayangimu
bukan hanya mencintaimu
tetapi turut mencintai agamamu
bukan hanya menjaga sihat jasadmu
tetapi turut perihatin akan sihatnya imanmu
bukan hanya tertarik indahnya fizikal mu
tetapi turut sayang pada indah akhlakmu
bukan hanya menyediakan banglo mewah tersergam indah
tetapi berusaha membina mahligai di SyurgaNya
bukan hanya ingin bersamamu di dunia fana ini
tetapi wahai adikku
yang paling utama
ingin terus bersamamu di syurgaNya yang abadi
bukan hanya mengenalkan mu pada dirinya
tetapi
turut mengenalkanmu pada Penciptanya

berusahalah adikku
kau masih punya waktu
perbetulkan apa yag salah
tampallah apa yang koyak
perbaikilah apa yang rosak
ingatlah adikku
sesungguhnya


Sunday, December 19, 2010

HE WHO NEVER GIVING UP

Innalillahi wa innailaihi rojiun.......

Hanya itu yang mampu saya tuturkan ketika membaca entry terbaru Ustaz Hasrizal sebentar tadi. Seorang saudara seaqidah yang saya kagumi pergi meninggalkan dunia ini setelah bertarung bertahun-tahun melawan kanser yang dihadapinya. Semangat juangnya dan keyakinan bahawa setiap yang berlaku adalah ketetapan dari Allah sedikit sebanyak menjadi azimat dan pendorong buat diri saya. Kini, dia pergi menghadap Tuhannya. Saya pernah menghubunginya melalui email dan respon beliau sangat positif. Dalam bertarung melawan penyakitnya, beliau tetap tidak lupa akan tanggungjawabnya terhadap agama tercinta. Melalui blog Beliau, Not-the-primrose-path, beliau berusaha berkongsi apa sahaja yang berguna untuk masyarakat. Kali pertama saya mengenali beliau melalui tulisannya di laman Iluvislam.com. Sejak itu saya selalu mengikuti perkembangan beliau melalui blognya. Saya juga pernah berkongsi tentang diri beliau di dalam blog ini. Dan sejak 5 minggu yang lalu blog beliau sepi dari sebarang entry. Tidak saya duga bahawa kesepian itu menandakan bahawa beliau bakal pergi meninggalkan khazanah berharga buat tatapan masyarakat. Beliaulah, saudara seaqidah, seIslam, akh Dr. Mas Afzal.

Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham. Semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan hamba yang mendapat rahmatNya

Al-Fatihah

Thursday, December 16, 2010

 Hari ini tidak banyak aktiviti yang dapat dilakukan. Rasa sakit sejak dua minggu yang lalu terlalu setia untuk bersama dengan saya. Ubat tahan sakit yang dibekalkan hanya cukup untuk beberapaa hari sahaja sedangkan temu janji bersama doktor pakar adalah sebulan dari sekarang. Walaupun ubat itu tidak terlalu membantu dan kesan sampingannya tidak baik untuk saya tapi sekurang-kurangnya saya akan memberitahu diri sendiri "it's ok. Kejap lagi reda la lepas makan ubat ni." Walaupun hasilnya tidak seperti yang diharapkan. 

Sedaya mungkin saya cuba untuk mengukir senyuman kepada sahabat-sahabat. Tetapi dalam 2 minggu ini kalau boleh saya tidak mahu berjumpa dengan sesiapa kerana saya tidak mampu untuk tersenyum. Teman saya hanya laptop supaya saya dapat menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh sekian lama. Setiap kali berjumpa dengan sahabat pasti mereka akan bertanya "sihat ke?" dan jawapan yang saya mampu berikan hanyalah "ok alhamdulillah." Untuk menyatakan saya sihat adalah satu penipuan. Ok alhamdulillah kerana saya masih hidup (penyakit ini tidak menyebabkan kematian) dan saya masih mampu berjalan (kerana tahap yang paling teruk adalah lumpuh). 

Syukurnya saya masih mempunyai sahabat-sahabat yang begitu mengambil berat. Ironinya saya sangat khuatir sekiranya saya akan menyusahkan mereka. Terutamanya untuk program hujung minggu ini. Sekiranya keaadaan saya tidak membaik, maka saya bukan sahaja tidak dapat melaksanakan tugas dengan sempurna tetapi juga akan sangat menyusahkan orang di sekeliling saya. 

kerisauan itu wujud dan ia tidak dapat mengubah
kesakitan itu suatu yang wujud dan tidak dapat diubah
kerisauan tidak dapat mengubah kesakitan 
dan kesakitan tidak dapat diubah dengan kerisauan
jadi
apa yang perlu saya lakukan supaya tiada kerisauan
dan kesakitan itu dapat diubah????? 

Tuesday, December 7, 2010

Reward Vs Punishment

Dalam sebuah kehidupan, kita tidak pernah terlepas dari diuji. Ada pelbagai tanggapan tentang ujian. Manusia yang subjektif sifatnya selalu menafsir hidup mereka dengan definisi yang berbeza. Dalam menanggapi suatu permasalahan, pelbagai reaksi mungkin timbul hasil dari definisi yang pelbagai ini. 

Cara manusia menghadapi sesuatu musibah atau permasalahan itu sangat bergantung kepada kondisi hatinya. Manusia juga selalu menilai sesuatu perkara menggunakan konsep reward and punishment. Kebiasaannya sesuatu musibah itu akan dianggap sebagai punishment manakala keuntungan atau kesenangan itu dianggap sebagai reward. Kondisi ini akan berlaku kepada mereka yang hatinya rapuh dan jauh dari tuhan. Bagi mereka yang hatinya kuat dan punya hubungan baik dengan Tuhan, mereka akan menanggapi situasi ini dengan tanggapan yang sebaliknya. Konsep punishment and reward itu diaplikasi dengan cara yang berbeza. Untuk memastikan samaada sesuatu perkara itu adalah ganjaran atau hukuman adalah berdasarkan kepada cara mereka mennghadapi sesuatu situasi. Bukan berdasarkan situasi itu sendiri. Sekiranya situasi itu dihadapi dengan cara yang betul maka mereka akan mendapat ganjaran, tetapi sekiranya mereka menghadapinya dengan cara yang salah, maka hukuman yang akan mereka perolehi. 

Sebagai contoh, seseorang yang diuji dengan suatu penyakit. Bagi mereka yang rapuh hatinya pasti akan menganggap penyakit itu merupakan suatu hukuman atau punishment. Dan biasanya mereka akan menghadapinya dengan tanggapan yang negatif, berputus asa, hidup dalam kemurungan, malah ada sanggup membunuh diri tidak mampu untuk menghadapi punishment itu. Sebenarnya, apa yang mereka hadapi itu bukanlah hukuman yang sebenar. Sebaliknya mereka yang menghukum diri mereka dengan sikap putus asa dan kemurungan itu. Berlainan pula dengan mereka yang hatinya dekat dengan Allah, akan menghadapi penyakitnya itu dengan ketabahan dan kesabaran yang akhirnya mungkin akan menyebabkan dia sembuh dari penyakit itu. banyak kajian yang menunjukkan bahawa penawar bagi kebanyakan penyakit bukanlah ubat-ubatan mahupun pembendahan, sebaliknya hati yang cekal dan jiwa yang tabah serta semangat juang yang tidak pernah luntur adalah penawar yang paling mujarab. Bukankah kesembuhan itu merupakan satu anugerah yang amat berharga manakala kesengsaraan akibat putus asa itu merupakan hukuman yang dijatuhkan oleh diri pesakit itu sendiri? Malah selain dari kesembuhan, pesakit yang diuji itu juga akan memperolehi ganjaran-ganjaran yang lain seperti sahabat yang memahami, perubahan sikap yang lebih positif, dan yang paling penting dapat memperbaiki hubungannya dengan Allah. Dan sebaliknya berlaku ke atas mereka yang berputus asa malah kadangkala menyalahkan Tuhan dan mempersoalkan takdir. Bukan sahaja masalah mereka tidak selesai malah mereka akan mendapat murka Allah di dunia dan akhirat. Apatah lagi sekiranya mereka mati dalam kesesatan. Nauzubillahi min zalik....

Ada seorang sahabat pernah berkata kepada saya; "Bila kita diuji Allah, kita biasanya akan leka dengan emosi saat kita diuji. Sedih, marah, kecewa, gembira dan lain-lain. Kadang-kadang tak terfikir pun yang sepatutnya kita kena cari ibrah dan hikmah ujian itu bila ujian itu datang pada kita. Walaupun bila orang lain diuji, kita dah biasa pun ingatkan orang lain untuk cari ibrah dan hikmah disebalik ujian tu. Tapi, bila ujian tu kena pada kita, kita macam tergamam dan tak boleh berfikir dah....." 

itulah fitrah manusia yang serba lemah. Namun dengan secebis iman yang masih bersinar di hati, insyaallah manusia itu akan kembali juga untuk mengadu kepada Tuhannya. Tuhan yang sentiasa menguji hambanya. 

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji?Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (-Surah Al-Ankabut ayat 2-3) ..


Sahabat
Ujian itu dari Allah
Dan penyelasaiannya ada padaNya
Jika kau gusar
Mengadulah padaNya
Jika kau sakit
Merintihlah padaNya
Jika kau gembira
Bersyukurlah padaNya
Jika kau tersalah
Mohon ampunlah padaNya

 “Dan Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka katakanlah sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan doa orang yang memohon apabila ia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi (panggilan/perintah)Ku, dan beriman kepadaKu agar mereka mendapat petunjuk (bimbingan)”.(Al-Baqarah: 186)


Sunday, December 5, 2010

back to normal

salam alaik


Rasanya keresahan akibat kebosanan tu sudah semakin berkurangan. Akhirnya Allah mendengar keluhan saya. Nak sangat kerja tapi bila sudah diberi boleh pula kata "banyaknya kerja...." agak banyak juga kerja saya yang tertangguh sekian lama. Cuma satu sahaja masalahnya, laptop saya tidak boleh digunakan. post ini pun terpaksa "menumpang" laptop kak Di. tapi tak mengapa. itulah cabaran. dan hidup ini indah dengan beberapa halangan. macam tom yam la, kalau tak cukup pedas dan masam takde "kik", kata orang kampung saya =)


esok ada fisioterapi lagi. tidak boleh berhenti berusaha selagi terdaya. macam kata Adnan Sempit:


DI MANA ADA KEMAHUAN DI SITU ADA HIGHWAY

WINNERS NEVER QUIT 
QUITTERS NEVER WIN

dan untuk sesiapa yang prihatin dengan keadaan saya, seinfiniti terima kasih saya ucapkan.
jazakallahu khairan kathira.......

Saturday, December 4, 2010

buatlah yang anda mampu

kita selalu rasa bahawa kita mempunyai terlalu banyak tanggungjawab tetapi kita tidak mampu untuk menyelesaikannya. mungkin kerana kekangan masa atau keadaan menjadikan kita banyak merungut. hakikatnya adakah kita telah pun mencuba sehabis daya untuk menyelesaikannya? betulkah masa tidak mencukupi atau kita yang sebenarnya tidak menghargai masa itu dan tidak tahu untuk menguruskannya? pernahkah kita terfikir bahawa setiap pekerjaan, atau tugasan itu bukan datang dari manusia tetapi adalah amanah dan ujian dari Allah? berapa ramai dari kita yang selalu mempersoalkan hasil kerja orang lain sebelum atau kadangkala tanpa merenung adakah kerja kita telah siap dengan sempurna? belum lagi mengambil kira kriteria sempurna yang diinginkan.

tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini. tapi kita mampu untuk berusaha untuk menyempurnakan sesuatu perkara itu semaksima mungkin. pandangan orang lain perlu diambil kira tetapi sekadar untuk penambahbaikan, bukan sebagai kata putus yang wajib diikuti. jangan pernah bermimpi untuk memuaskan hati semua orang kerana fitrah manusia itu dijadikan berbeza-beza. yang penting adalah keredhaan Allah.


jika kau bertanya pada manusia
kau akan keliru
kerana pandangan manusia itu subjektif sifatnya
jika kau tanya pada alam
kau mungkin buntu
kerana alam itu bisu dan kaku
jika kau tanya pada hatimu
kau mungkin tersesat
kerana dalam hatimu ada nafsu
yang cenderung menghanyutkan dirimu
jadi
pada siapa perlu kau mengadu?
mengadulah pada Dia yang satu
kerna Dia serba tahu
apa yang terbaik untuk dirimu

Thursday, December 2, 2010

bosan yang meresahkan

salam alaik.

Bosan....yang sangat meresahkan. Ada sesiapa yang ingin memberi saya apa-apa kerja? Nak kerja? Jalan sikit sudah semput. Bawa motor lama sikit sudah kebas-kebas di kaki. Tak tahu berapa doa yang dibaca kak Ika sebelum membonceng motor itu tadi. Nak buat macam mana, dia yang percaya pada saya (ayat tidak bersalah).

BOSAN.......

Semua orang pergi kerja. Saya terkontang-kanting mencari kerja. My favourite question; nak buat apa yea lepas ni? Tapi to be in Techno is not the right choice. Setakat jadi spy yang menambah kebencian orang, saya dah cukup banyak masalah untuk ditambah.

Ok enough with the bluffing part.

Semoga hari esok leih baik dari hari ini.
Semoga saya tidak bosan dengan hidup
Semoga orang disekeliling saya tidak bosan dengan kerenah saya
Semoga saya tidak bosan untuk memohon kepadaNya
Yang tidak pernah bosan mendengar rintihan saya

Followers