About Me

My photo
shah alam, selangor, Malaysia
seorang manusia biasa, yang berusaha membuat sesuatu yang laur biasa. seorang pelari yang sedang berlari di sebuah trek kehidupan. aku mungkin tidak mampu menjulang senjata, menyumbang emas permata. namun yang ku tahu aku ingin mati sebagai pejuang agama, dalam tekad untuk memburu redhaNya

Friday, December 9, 2011

Dari lorong itu....



"Sedangkan seorang pelacur pun Allah bagi dia masuk syurga semata-mata sebab dia bagi seekor anjing yang kehausan minum air. Inikan pula aku. Aku pernah buat lebih dari itu. Anak-anak jalanan yang bersepah kat sini, aku yang bagi diorang makan. Aku yang pelihara diorang. Takkan aku tak boleh masuk syurga?" Jelingan sinisnya menikam wajah gadis muda dihadapannya. Khaty, atau Khatijah, sangat disegani di kawasan ini. Dia primadona di lorong pengap dan kusam ini. Yang pada siangnya sunyi dari sebarang aktiviti, kecuali sesekali lori pengangkut DBKL yang menjalankan rutin hariannya. Tetapi, menjadi seolah tapak pesta kala malam menjengah. Syurga bagi yang mencari kenikmatan duniawi yang sementara. 


"Benar, wanita itu diberikan syurga. Tapi bukan semata-mata kerana budinya pada anjing tersebut," Khadeejah, aktivis Nisa', sebuah NGO yang prihatin dengan keadaan semasa masyarakat, menutur bicara bersulam senyuman. 


"Jadi, jika bukan kerana itu, kerana apa?" Asap rokok berkepul bersama persoalan yang meluncur. Gadis itu tersenyum kembali. Menarik nafas yang panjang sebelum memulakan kalimah yang seterusnya. 


" Wanita itu menjadi penghuni syurga kerana rahmat Allah." Sebuah lagi senyuman diukir. Sedang bibir hitam yang disalut gincu merah menyala itu mencebik. "Rahmat....Huh!"


"Rahmat Allah diberikan kepadanya kerana keikhlasannya ketika membantu anjing tersebut. Dan kerana itu, melalui rahmatNya, Allah campakkan keinsafan dalam hatinya, lalu wanita itu meninggalkan pekerjaan sebagai pelacur dan kembali ke jalan Allah. Wanita itu bertaubat dan membina hidup yang baru. Yang lebih baik dan mulia di sisi Allah."


"Aku buat banyak kebaikan. Seperti yang ku katakan, aku melakukan lebih dari yang dilakukan oleh wanita itu. Tetapi mengapa tiada rahmat yang turun padaku? Mengapa aku masih terus di sini? Selama 30 tahun aku di sini. Usahkan rahmat. Malah cacian dan makian yang aku dapati saban hari. Di mana rahmat tuhan yang kau katakan itu? Dimana?!" Suaranya meledak garang. Sarat dengan kekecewaan terhadap hidup yang dilalui. Pedih yang ditanggung selama 30 tahun dihamburkan kepada gadis muda dihadapannya. "Apa yang kau tahu tentang hidup anak muda? Dunia ini kejam dan zalim. Di mana keadilan jika kau dan mereka dilahirkan dalam keluarga yang bahagia, sedang aku dan mereka di sini, dicampak sebagai sampah di lorong jijik ini. Jika tuhan itu adil, mengapa kau di sana sedang aku di sini?"


"“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” Ar-Ra'd:13.


"Puan. Kita hanya hamba, puan. Siapa kita untuk mencerca pemberian yang tuhan berikan kepada kita. Setiap pemberian tuhan itu ada sebabnya. Saidina Umar Al-Khattab pernah membunuh anak perempuannya sendiri. Tetapi akhirnya, dia menjadi manusia mulia di sisi Allah sehingga syaitan sendiri takut dengannya. Tapi puan, kemuliaan yang diperolehi saidina Umar itu dibayar dengan pelbagai pengorbanan. Dan pastinya dimulakan dengan hijrah. Allah selalu memberikan peluang kepada hambaNya untuk berubah. Setiap kesakitan, kesedihan, keperitan, musibah,derita dan air mata itu untuk menarik kita kembali kepada Dia. Di kala tiada manusia yang ingin menerima kita, ingatlah, Dia sentiasa ada di sisi kita. Di kala semua manusia membuang kita, Dia menerima kita dengan dakapan kasihNya. Tapi, dengan syarat, bertaubat dan bersungguh untuk kembali kepadaNya."


"Kau tak pernah rasa apa yang aku dan mereka di sini rasakan. Kau tak pernah berada di tempat kami." Sebatang lagi rokok dinyalakan. 


"Puan,  puan masih ingat dengan seorang anak kecil yang secara senyap-senyap puan masukkan ke dalam van Jabatan Kebajikan Masyarakat kira-kira 20 tahun dulu? Semasa mereka menyerbu lorong ini dahulu?" Wajah manis bertudung labuh biru itu dipandang. Senyum manis itu masih terukir, tetapi, ada air bening di tubir matanya. "Kau...? Dija?" Tangannya spontan memegang pipi gadis itu. Diusap air mata yang hampir luruh ke pipi. "Ya mummy. Ini Dija. Dija pernah ada di sinikan mummy. Dija tahu bagaimana hidup mummy. Bagaimana perit dan derita mummy. Dija tahu semua mummy."


"Mummy, hidup ini satu pilihan. Allah bentangkan banyak jalan dan Dia suruh kita pilih. Kita selalu keliru untuk memilih antara kebenaran dan kebatilan. Tapi, Allah juga berikan panduan untuk kita memilih. HidayahNya sentiasa ada disekeliling kita. Umpama papan tanda di lebuh raya. Tapi, kita yang selalu abaikan papan tanda itu. Akhirnya kita tersesat. Bila kita sesat, kita marahkan Dia. Kata Dia tak sayang kita. Tapi kita masih tak nak ikut papan tanda yang Dia dah bagi. Marilah mummy. Tinggalkan tempat ini. Dunia di luar sana lebih luas lagi. Allah sayang pada Mummy. Sebab tu Dia hantar Dija ke sini. Untuk bawa mummy dan yang lain-lain keluar dari tempat ini."


"Betul Allah sayangkan mummy? Mummy banyak dosa.."


“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan, maka untuknya sepuluh kali ganda pahala, bahkan mungkin lebih. Sesiapa yang berbuat kejahatan, maka dibalas dengan satu dosa, bahkan mungkin diampuni. Dan sesiapa yang menghampiri-Ku (Allah) sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta. Sesiapa yang datang kepada-Ku berjalan, maka Aku akan berlari kepadanya. Sesiapa yang menghadap kepada-Ku dengan dosa sepenuh isi bumi, sedangkan dia tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku akan menemuinya dengan keampunan sebesar itu pula.” (Riwayat Muslim).


Dalam hidup ini, kadang kala kita lupa, bahawa kita ini hanya hamba. Kedudukan kita hari ini adalah ketentuan Allah. Hari ini mungki kita selesa dan merasa selamat dengan amalan kita. Kita yakin dengan amalan kita maka kita akan masuk syurga. Dan kita selalu mencela mereka yang kita kategorikan sebagai pendosa. Sedang mungkin suatu hari kedudukan kita akan berubah.Tak siapa yang tahu. Tetapi, yang pasti, walau siapa pun kita, syurga Allah itu sentiasa menunggu kita. Jika hari ini kita ahli maksiat, berubahlah untuk menjadi ahli ibadah. Jika hari ini kita rasa kita baik, berusahalah untuk menjadi lebih baik. Kerana kita tidak tahu adakah kita dikira baik disisi Allah.......

2 comments:

MemaLI said...

hebat..hebat...boleh kumpul utk dibukukan

hanya hamba said...

doa-doakan yea en. memali
semoga bermanfaat untuk semua :)

Followers