Versi cerita saya, tentunya sangat berbeza dengan apa yang anda lihat di kaca tv, atau yang akan anda baca di akhbar esok pagi. Kerana, cerita saya adalah apa yang saya lihat dengan mata kepala saya sendiri, apa yang saya alami, bukan hasil imaginasi hodoh media upahan yang hanya tahu menutup bangkai yang meloyakan.
Bergerak pada pukul 9.00 pagi, dengan konvoi motorsikal yang ahlinya semuanya adalah muslimat, menuju ke ibu negara dengan satu tekad. DUDUK DAN BANTAH! Destinasi kami adalah Masjid Negara. Namun, persimpangan menuju ke sana telah pun disekat. Akhirnya, kami ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Dan di situlah segalanya terpamer, satu-persatu.
Ketika pemimpin kami sedang memberi ucapan, beberapa kali (dalam jumlah yang banyak tentunya) ucapan diganggu dengan kehadiran trak polis yang lalu lalang. Dan makhluk-makhluk yang tugasnya mencetuskan provokasi bertindak membaling objek seperti botol minuman ke arah kenderaan-kenderaan tersebut. Suasana menjadi kecoh kerana Unit Amal dan pimpinan perlu mententeramkan peserta himpunan yang termakan provokasi jijik itu. Provokasi itu berselang-seli dengan gangguan dari pembesar suara yang dipasang DBKL di sekitar dataran. Kedengaran seolah-olah terdapat dua ucapan pada satu masa. Dan menyebabkan crowd tidak dapat mendengar ucapan dengan jelas.
Kemudian, saya mula rasa tidak selesa, sepertinya lelah saya mula datang. Tidak dapat bernafas dengan betul, dan badan mula rasa berpusing. Saya minta pada sahabat-sahabat untuk membawa saya keluar dari crowd. Ketika kami sedang berehat di tempat yang agak teduh, Kami mula diserang dengan gas pemedih mata. Kami bertempiaran, dalam keadaan saya yang masih agak lemah. Kami lari hingga ke SOGO. Sebelum sampai di Sogo, kami terlihat seorang lelaki terbaring kekejangan. Mulutnya berbuih dan tersentap-sentap. Hati saya sangat tidak tahan melihat keadaan lelaki itu. Mengingatkan saya kepada kejadian ketika BERSIH 2.0. Seorang lelaki dalam keadaan yang serupa tetapi akhirnya meninggal dunia. Saya menangis teresak-esak di situ, dan hampir terjelepok ke bawah sebelum dipeluk oleh sahabat, dan di bawa meninggalkan lelaki itu yang tidak saya tahu apa nasibnya. Beberapa tapak di hadapan, kelihatan kali ini seorang anggota Unit Amal pula yang diusung pergi. Kata sahabat, mungkin beliau tertelan air water canon . Sekali lagi saya emosi. Hati sangat tidak tertahan dengan perilaku kebinatangan yang ada di hadapan mata.
Manakala, ketika pasukan Bulan Sabit Merah datang mengedarkan air kepada orang ramai, gas pemedih mata juga turut dihidangkan tidak lama kemudian. Sebelum sempat air yang diberikan diteguk membasahi tekak. Pada ketika itu, tiada sebarang kekecohan yang berlaku. Sempat saya berkta kepada sahabat," sempat lagi pak cik tu makan ais krim ek." Sambil menunjukkan kepada dua orang pak cik yang sedang menikmati ais krim mereka. Dan suasana tenang itu berakhir apabila hidangan gas pemedih mata menjadi santapan kami.
Dan, klimaks untuk hari ini adalah, apabila samseng-samseng berunifrom ini merempuh dengan kejam rakyat jelata yang menuntut keadilan.
saya berdiri hanya beberapa meter dari tempat rempuhan
Media boleh memutar belitkan cerita. Teta[i mereka lupa, Allah tidak buta. Allah tidak tuli. Dan semua yang berada di situ akan menjadi saksi, kekejaman dan kedzaliman yang dilakukan ini. Mata saya melihat kereta itu dipandu laju. Telinga saya mendengar bunyi enjin yang dipacu deras.Kesemua anggota saya akan menjadi saksi bagi kejadian ini. Begitu juga dengan pancaindera yang lain, dan juga orang-orang lain yang ada di situ.
Dan apabila membaca carutan, makian dan hamunan mereka yang tiada di tempat kejadian, terhadap kami yang menyaksikan, hati saya masih tersentuh. Merasa kasihan kerena kebebalan mereka dan rasa tidak peduli itu yang akan mengorbankan anak-anak mereka, yang bakal terus hidup dalam sistem yang dzalim ini.
Al-Fatihah buat mereka yang terkorban.
only a creation created by the almighty creator
No comments:
Post a Comment