About Me

My photo
shah alam, selangor, Malaysia
seorang manusia biasa, yang berusaha membuat sesuatu yang laur biasa. seorang pelari yang sedang berlari di sebuah trek kehidupan. aku mungkin tidak mampu menjulang senjata, menyumbang emas permata. namun yang ku tahu aku ingin mati sebagai pejuang agama, dalam tekad untuk memburu redhaNya

Sunday, April 22, 2012

Kocakan Daerah Damai

Permusafiran ke kampung halaman tarbiah. Kembali mencari diri, di tempat mula-mula menemui tuhan. Menghirup udara segar di pinggir sawah padi yang tidak begitu hijau. Damai.

Jika wujud daerah damai, maka saya katakan, di sinilah tempatnya. Biar apa musimnya, bagaimana wajahnya, daerah itu tetap damai. Petak-petak sawah itu, tatkala musim padi sedang kuning, seolah-olah hamparan emas yang saujana mata memandang. Menerbit doa dan harapan untuk rezki kurniaan tuhan. Damai.

Ketika padi sudah dituai, jerami-jerami dibakar. Aroma bakaran itu kadangkala menerjah ke jendela-jendela kolej kediaman di kampus yang letaknya di atas bukit yang dikelilingi permatang ini. Masih damai.

Malah, ketika musim banjir, petak-petak sawah akan kelihatan seperti sebuah tasik yang luas. Air bah membawa bersama mineral yang diperlukan untuk penanaman yang seterusnya. Musibah yang membawa rahmah. Masih lagi damai.

Ketika ini, sawah baru dibajak dan anak-anak padi baru mula disemai. Saya berdiri di tepi pohon mangga, di halaman tepi rumah sewa sahabat-sahabat yang saya tumpangi sepanjang permusafiran ini. Rumah kecil yang menyaksikan nostalgia ukhuwwah kami. Tempat kami menadah ilmu, meratap di hadapan tuhan di malam hari, malah, juga tempat kami menghamburkan air mata tatkala lelah perjuangan mengejar kami.

Kerudung coklat sahabat yang saya pakai dipukul lembut bayu petang. Mata masih menatap anak-anak padi yang meliuk mengikut tarian bayu. Terik matahari petang tidak membuatkan kaki saya berganjak dari tempat saya berdiri. Saya sedang mencari sesuatu. Sesuatu yang ingin Allah tunjukkan kepada saya, ketika mengilhamkan kepada hati dan menggerakkan kaki saya untuk berdiri di sini.

Angin yang kencang menyentap lamunan. Mengalihkan anak mata yang leka menatap anak-anak padi yang menghijau ke arah petak sawah yang hampir kosong, masih belum ditanam dengan anak padi yang baru. Di dalam petak itu, kelihatan dua keadaan air yang berbeza. Air yang ditengah lebih jernih dan saya kira lebih dalam, berbanding air di tepi yang kelihatan keruh, dan terdapat mendapan yang terapung di atasnya. Di hati saya terdetik, "mengapa mesti begitu? Mengapa air di tengah kelihatan lebih bersih berbanding air yang berada di tepi?"

Seketika kemudian, baru saya tersedar. Kelihatan air yang ditengah berombak kecil ditiup bayu. Dan kadangkala ombak itu membesar jika anginnya bertiup kencang. Ombak dan angin itu akan menolak sedimen-sedimen yang terapung di permukaan air itu ke bahagian tepi. Semakin kuat angin, semakin kuat riaknya dan semakin banyak sedimen yang akan ditolak ke tepi. Maka air di bahagian tengah akan sentiasa bersih, walaupun sentiasa beriak.

Mungkin pengalaman yang ringkas, malah tiada ertinya bagi sesetengah dari anda. Tetapi amat besar ertinya bagi saya. Seorang pejuang, hidupnya perlu sentiasa berkocak. Kerana kocakan-kocakan itu akan menyingkirkan kotoran-kotoran yang terapung dalam hidupnya.

Kerana itu, saya merasa bersyukur dengan kocakan dan ombak yang sedang melanda hidup saya, selepas menangisinya hampir setiap masa sepanjang minggu lalu. Cuba mencari damai dengan memejamkan mata, apa yang terbayang adalah wajah-wajah mereka yang mengharap. Sebaik mata dibuka, air jernih pasti mengalir dan hanya akan berhenti ketika mata dipejam semula, atau akan cuba ditahan ketika ada yang menyapa. Gurau saya dengan kak Mun (melalui telefon ketika di sini) "zombie lagi lawa dari muka saya kak". Mata berair, hidung merah, suara serak, comel la kalau tak nampak comot kan =)

Terima kasih petak sawah, pokok padi, pohon mangga dan bayu petang yang menemani saya pada petang itu. Juga kepada semut kerengga yang tidak menggigit kaki saya. Pada bintang yang menemani perjalanan pulang saya ke Shah Alam. Tidak lupa, pada sahabat-sahabatku yang berusaha untuk membuat saya ketawa. Konvoi bermotosikal 21km ke Padang Besar akan menjadi pengalaman terindah yang takkan dilupakan (walaupun masing-masing rasa nak tukar set pinggang baru bila sampai di Arau =D). Lain kali, kita berkelah pula di Dataran Terinai dipinggir Timah Tasoh itu ya.

Terima kasih Perlis, kerana meminjamkan damaimu. Kembalinya saya ke sini, untuk mencipta damai. Syukur pada Allah, atas tarbiah dari sebuah kocakan, yang diterjemah melalui sebuah permusafiran.

"We do what we CAN, Allah do what we CAN'T" ada orang suruh tulis :)

only a creation created by the almighty creator

No comments:

Followers