About Me

My photo
shah alam, selangor, Malaysia
seorang manusia biasa, yang berusaha membuat sesuatu yang laur biasa. seorang pelari yang sedang berlari di sebuah trek kehidupan. aku mungkin tidak mampu menjulang senjata, menyumbang emas permata. namun yang ku tahu aku ingin mati sebagai pejuang agama, dalam tekad untuk memburu redhaNya

Friday, December 31, 2010

mengapa dengan dakwahku??

Mengapa kadangkala aku rasakan dakwahku sukar, jalannya payah, mehnahnya banyak, durinya tajam dan jalannya penuh liku? Mengapa amat sukar untuk ku dekati mereka yang memerlukan sentuhan tarbiyyah dalam diri mereka? Mengapa begitu keras hati mereka? Begitu dingin layanan mereka, begitu payah untuk mendekati mereka? Apa cara ku salah? Atau mereka yang tergolong dalam orang-orang yang hati mereka telah dihijab oleh Allah? Tidak! Sesungguhnya siapa aku untuk menilai mereka? Siapa aku untuk mengatakan mereka golongan yang disingkir Allah dari pintu rahmatNya? 

Jika bukan itu faktanya, apa sebenarnya yang menjadi hijab dakwahku? Mengapa mereka tidak memperdulikan aku? 

Ku duduk merenung diri. Satu persatu ingatan kuputar. Mengimbas kembali detik demi detik perjalanan dakwahku. Ku selak helaian waktu, satu persatu. Dengan zikir, dan fikir, ku jejak kembali tapak-tapak langkahku. Bermula dengan peristiwa-peristiwa lalu, ku kaji segenap penjuru. Bermula dengan niatku melangkah ke situ. Untuk apa aku berada di situ? Adakah kerana nama dan sanjungan? Atau kerana kehadiran si dia yang menarik perhatian? Atau kerana aku punya kelebihan yang ingin ku pamerkan? Apa sebenarnya matlamat ku ketika memijak langkah yang paling pertama itu? Di situ banyak ku temui kekeliruan. Banyak matlamatku yang samar. Bercampur aduk antara kepuasan diri dan redha ilahi. Kutemui jawapan yang pertama.....mengapa dengan dakwahku.....

Ku selam lagi ke dasar nurani. Apa lagi yang lompong dalam dakwahku? Ku singkap bab seterusnya, bagaimana hubungan ku dengan keluargaku. Baru ku tersedar, masa ku lebih banyak di luar. Bersama sahabat-sahabat menyeru masyarakat. Sedang keluargaku, terpinggir dari lingkungan dakwahku. Sedang pesan Imam Hassan Al-Banna, dakwah yang paling dekat adalah dengan keluarga mu. Sedang keluargaku amat sederhana dalam beragama. Ibu bapa ku bukan seperti orang tua As-syahid Ibnu Khattab yang tegar berpisah berbelas tahun dengan anaknya kerna yakin anaknya sedang memburu syurga. Sedang redha Allah padaku adalah atas redha mereka......Astaghfirullah....

Ku cari lagi kelemahan diri. Bab seterusnya tertera dalam benak ku, hubunganku sesama muslim. Tidak sedikit ku sakiti hati sahabatku. Tidak kurang yang ku umpat dan ku keji. Prasangka buruk berlegar di hati, nyanyian syaitan yang dengki. 

Di penghujung kajian, ku telaah bab terakhir, kunci segala persoalanku. Bab terpenting dalam merungkai persoalan, mengapa dengan dakwahku. Bab hubunganku dengan penciptaku. Berapa banyak dosa ku yang kadangkala ku sedari? Tidak termasuk yang tidak ku sedari. Dari mana sumber rezki ku? Bagaimana solat fardhu ku? Apatah lagi amalan sunatku? Dimana syukurku ketika senang? Berapa banyak keluhan dan rungutanku ketika sukar? Sekuat mana kebergantunganku padaNya? Dan banyak lagi persoalan-persoalan yang tidak terjawab oleh hatiku, apatah lagi akal pendekku. Yang menyedarkan aku bahawa diri kerdil dengan segala pinjaman nikmat ini bukan siapa-siapa. Yang membuatku bertanya dan terus bertanya, layakkah aku bergelar Daie, pewaris perjuangan nabi? 

Dengan segala jawapan ini, dengan segala hakikat kelemahan ini, pasti akan terasa diri ini sangat tidak layak untuk berada di sini. Tetapi ini tidak bermakna aku harus berhenti, mengundur diri, atau lari dari jalan ini. Allah telah memilihku, jadi aku harus memperbaiki diriku. Harus menampal apa yang lompong, menjahit apa koyak, menambah apa yang kurang dan mengurang apa yang terlebih. Jalan ini tidak mudah, kerna jalan ini jalan ke syurga.......

Mama, I'll be home soon.....insyaallah

No comments:

Followers