About Me

My photo
shah alam, selangor, Malaysia
seorang manusia biasa, yang berusaha membuat sesuatu yang laur biasa. seorang pelari yang sedang berlari di sebuah trek kehidupan. aku mungkin tidak mampu menjulang senjata, menyumbang emas permata. namun yang ku tahu aku ingin mati sebagai pejuang agama, dalam tekad untuk memburu redhaNya
Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

Tuesday, January 17, 2012

Ibrah dari Arau

Saya belajar beberapa perkara ketika bermusafir ke Arau baru-baru ini. Antaranya, 'humbleness' dan 'simplicity'. Merendah diri dan bersederhana. Tiada istilah 'budak tarbiyyah' dan 'budak siasah', kerana kedua-duanya perlu ada dalam satu jasad.

Selain itu, perbezaan antara menjadi penilai dan pengkritik. Penilai akan melihat kelebihan, bukan hanya kekurangan. Tetapi, pengkritik hanya akan melihat kekurangan, dan mengabaikan kelebihan.



Simplicity + Humbleness = izzah
penilai vs pengkritik
tarbiyyah + siasah = harakah islamiyyah

Friday, December 30, 2011

Sekiranya Allah Belum Makbulkan

Sekiranya kau telah banyak meminta,,
Telah sering berdoa,
Telah puas merayu,
Tetapi,
Allah masih belum makbulkan permintaanmu,
Belum memberi keinginanmu,
Bukan bermakna Dia tidak mendengar,
Bukan bermakna Dia membenci,
Bukan jua kerna Dia kedekut,
Apatah lagi dzalim

Tapi,
Mungkin kerna amalmu belum mencukupi,
Doamu tidak rapi,
Ikhlasmu belum memadai,
Maka ditangguhnya pemberian itu,
Supaya kau cukupkan amalmu,
Kau rapikan doa mu,
Dan padai ikhlasmu.

Atau,
Dia belum puas bicara dengan mu,
Masih ingin mendengar celotehmu,
Ibarat sang ayah yang tersenyum mendengar aduan anaknya,
Atau ibarat sang kekasih yang minta dimanja.

Berbaik sangkalah denganNya,
Bukan Dia tidak mahu memberi,
Tapi belum masanya,
Bukan Dia tidak memahami,
Tapi, kerna ingin memberikan hanya yang terbaik sahaja.


Saturday, December 24, 2011

3H: muhasabah diri

Fasa ujian datang silih berganti. Kala ini saya sedang merenung kembali tinggalan masa yang berlalu untuk beberapa hari. Teringat entry Ustaz Hasrizal, "Jika ini sebuah perjalanan, adakah Khidir sebagai penunjuk." Saya buka lembaran semalam.Hyperventilation yang menemani sejak Khamis hingga ke saat ini masih setia di sisi. Saya bertanya pada diri, tatkala teringat kandungan entry itu, apa yang Allah ingin tunjukkan pada saya? Dengan setianya HV di sisi, banyak urusan saya yang tergendala. Kesemua kelas tuisyen terpaksa dibatalkan kerana kesihatan yang tidak mengizinkan. Yang mana secara tidak langsung menampakkan tanggapan negatif terhadap saya. Saya dianggap tidak profesional. 

Teringat pesan seorang sahabat, "tafakur dan muhasabah, penghubung kita dengan Allah." Saya sambut pesan sahabat dengan aplikasi. Setelah direnung dan diselam, akhirnya, saya kira, saya ketemu jawapannya. Allah sedang menegur saya.

Dalam kebelakangan ini, banyak program yang tidak dapat saya hadiri. Dan tentunya dengan alasan, "saya mengajar," "Ada kelas" dan yang seerti dengannya. Seolah-olah, tuisyen itu menjadi prioriti utama melebihi tuntutan gerak kerja jamaah. Sedang, ianya hanyalah sambilan sahaja dan masanya boleh di fleksibelkan mengikut awlawiyyat. Tetapi, saya leka. Dan akhirnya Allah menegur saya dengan cara ini. Terbungkam di rumah tanpa dapat ke mana-mana. Usahkan mengajar, menunggang motorsikal sahaja tidak mampu. Begitu mudah Allah menarik nikmat dari seseorang. 

Saya bersyukur dengan teguran ini. Sekurang-kurangnya saya masih diberikan kesedaran untuk menginsafi kelalaian diri. Sesungguhnya rezeki itu dari Allah. Dang jangan takut kehilangan rezeki kerana gerak kerja Islam. Allah takkan membiarkan pekerja-pekerjaNya kebuluran dalam perjuangan. Cuma mungkin akan diuji dengan sedikit kelaparan. 

Saya nukilkan kisah ini, supaya, sekiranya berlaku lagi, mungkin nukilan ini akan mengingatkan saya untuk tidak tersalah langkah lagi.

Monday, September 26, 2011

Cinta



Jika kita bercinta dengan manusia, bersedialah untuk kecewa. Kerana manusia itu penuh dengan kelemahan dan kekurangannya. Tetapi, jika kita bercinta denganNya, kita tidak akan pernah kecewa. Kerana, Dia tiada kekurangan.Jika kita berkasih dengan manusia, bersedialah untuk berkongsi. Kerana, pasti ada orang lain yang mengharapkan kasihnya, samaada keluarganya, sahabatnya, atau, orang lain yang tidak kita harapkan kehadirannya. Tetapi, jika kita berkasih denganNya, kita takkan pernah merasa berkongsi. Kerana, kasihNya maha adil dan saksama. Jika kita mengharap sayang dari si dia, kita perlu memberi sebelum menerima. Tetapi, jika kita mengharapkan sayangNya, kita hanya perlu menjadi peminta, kerana Dia maha Pemberi segalanya. Jika kita mohon difahami olehnya, mungkin dia sukar memahami kita, kerana ilmunya terbatas sekadarnya. Tetapi, jika dengan Dia, kita pasti difahamiNya. Kerana Dia lebih tahu apa keperluan kita. Jika kita mengadu pada dia dan mereka, sampai satu masa, mereka pasti bosan akhirnya. Tapi, baiknya Dia, Dia takkan bosan mendengar rayuan kita. Malah, sering kali kita yang berputus asa dengan rahmatNya.

Tiada percintaan yang paling bahagia, selain bercinta denganNya


Tuesday, August 23, 2011




“Sesungguhnya Jibrail (A.S) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.
Hadits Riwayat Bazzar dalam Majma’uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka’ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No.500 dari Jabir bin Abdillah)

Salam sepuluh malam terakhir Ramadhan (eh..dah tak sampai sepuluh dah la...). Kali ini saya bawakan hadis yang panjang ini kerana ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian bermuhasabah tentang Ramadhan kita pada tahun ini.

  1. Adakah keterujaan kita untuk menyambut Aidil Fitri melebihi kerisauan kita kerana akan ditinggalkan Ramadhan?
  2. Adakah Lailatul Kamdar lebih menarik, tertarik dari Lailatul Qadar?
  3. Adakah kita berjaya mencapai ketiga-tiga fasa rahmat, pengampunan dan pembebasan dari api neraka seperti yang dijanjikan oleh Allah?
  4. Bagaimanakah keadaan kita jika kita tidak berjaya mendapat keampunan dosa setelah berakhirnya Ramadhan ini seperti yang dinyatakan hadis tadi? Celaka?
  5. Apa yang terjadi jika "celaka" itu yang menimpa kita?
  6. Masihkah ada lagi Ramadhan pada tahun hadapan untuk ditebus Ramadhan yang telah berlalu ini?
Ini antara persoalan yang berlegar di hati kami (saya dan Kak Nur) semasa berbuka semalam. Lintasan hati yang menerbitkan kerisauan yang bukan sedikit. Lebih dari kerisauan menunggu result 'final exam', kerana jika sangkut 'final exam' masih ada peluang untuk 'repeat' pada semester hadapan. Tetapi sempatkah kita untuk 'repeat' ujian Ramadhan ini?

Fikirkan sahabat....selepas ini, adakah anda masih risau dengan baju raya yang belum dibeli, langsir yang belum bertukar, atau biskut-biskut raya yang belum dibuat?.....



Tuesday, August 16, 2011

Quote From A Friend


Ujian Allah terhadap manusia adalah proses Allah menempa manusia, seumpama meteor yang jatuh dari langit, masuk ke perut bumi, ditempa dengan suhu yang amat tinggi berjuta-juta tahun. Akhirnya terhasil darinya berlian yang amat bernilai tinggi. Begitu juga halnya dengan manusia. Ujian kepada manusia adalah proses kita dibentuk oleh Sang Maha Pencipta agar dengan ujian kita akan diajarkan ilmu kesabaran, pengurusan, dan air bersyukur, redha, lebih tabah, cekal hati, tidak mudah putus asa, bersemangat waja dan positif dengan kehidupan. Sebab ujian-ujian ini menandakan Allah melihat dan kasihkan kita kerana untuk diangkat darjat kita menjadi mata rantai berjuang di jalan Allah yang rela dan sanggup mati di jalanNya.



 "Jangan mengatakan kamu beriman sebelum kamu diuji".

Mencari hikmah itu bukan lagi perkara utama, tetapi mengetahui tentang hikmah akan menambah keyakinan dan keimanan kita kepada Allah."




Monday, May 16, 2011

Bekerja untuk Islam


Alhamdulilah...akhirnya blogger aktif semula. Miss this page very much. Leaving internet for a few days (2 hari je kot) I kinda lost a lot. 

Ingin menghikayatkan sebuah kisah dari kehidupan seorang teman. Mungkin pada orang lain kisahnya biasa sahaja tetapi bagi saya, jika saya berada di tempatnya, belum tentu saya mampu menjadi seperti dirinya. Sahabat saya ini memiliki ijazah yang boleh beliau gunakan untuk mendapatkan kerja yang lumayan. Tetapi, cintanya pada perjuangan menyebabkan beliau lebih rela bekerja di sebuah agensi kerajaan tempatan yang gajinya sekitar RM700-RM900 sebulan, semata-mata untuk memudahkan urusan jemaah. Memang beliau terfkir untuk mencari pekerjaan yang lain tetapi beliau khuatir tiada siapa yang sanggup menggantikan tempat beliau di situ. Dan jika beliau ingin menukar kerja sekalipun, beliau akan memastikan pekerjaan tersebut membolehkan beliau bergerak sepenuh masa dengan kerja Islam. Siapa diantara kita yang sanggup mengorbankan peluang pekerjaan bergaji beribu-ribu ringgit semata-mata untuk bergerak sepenuh masa dengan kerja Islam? Jika ada pun, berapa kerat agaknya? 

Dalam keadaan sibuk menguruskan perkahwinan, tuntutan perjuangan tidak juga surut. Bermotosikal menjelang subuh sudah jadi kebiasan baginya. Dan untuk pengetahuan pembaca, sahabat saya ini adalah seorang muslimat. Di sini juga, ingin saya kongsikan pengalaman menemani dan membantu beliau untuk program baru-baru ini. AJK program hanya dua orang sahaja pada mulanya iaitu beliau dan seorang sahabat muslimin. Bayangkan, beliaulah yang mengambil peserta, menjadi moderator, menguruskan makanan, mencari dan menghubungin penceramah dan fasilitator, pendek kata segala-galanya. Bukan beliau tiada meminta pertolongan sahabat-sahabat tetapi malangnya mesej yang dihantar hanya di pandang sepi. Mujurlah ada sahabat-sahabat yang di linkkan oleh JPMLN turun membantu sebagai fasilitator. Ditambah dengan kehadiran saya dan seorang lagi sahabat muslimat untuk membantu dari aspek teknikal pada hari pertama. Tetapi pada hari kedua, tenaga penggerak kemali berkurang kepada 6 orang sahaja dan untuk teknikal hanya tinggal saya seorang.

Alhamdulillah program berjalan lancar. Tetapi, pada sebelah malamya pula berlangsung program lain di tempat tersebut, dan beliau dikehendaki menyediakan makanan dan tempat program. Beliau dimaklumkan pada pukul 5 petang sedang program akan berlangsung pada jam 8 malam. Maka melilaulah kami mencari makanan menaiki kereta yang dipinjamkan seorang sahabat untuk program sebelum itu dari satu seksyen ke satu seksyen. Akhirnya makanan sempat dihidangkan sebaik sahaja acara tamat. Sekali lagi pertolongan Allah memihak kepada kami. Selesai program, Dewan ditinggalkan dalam keadaan yang agak menyedihkan, yang sudah pasti perlu dibereskan oleh beliau. Kemudian, kira-kira pukul 12.30 malam, kami terpaksa pula menghantar kereta yang di pinjam itu kepada tuannya dan mengambil motorsikal beliau yang ditinggalkan kepada tuan kereta. 

Sekali lagi ujian Allah menjengah kami. Dalam perjalanan pulang, di tengah-tengah lebuh raya kira-kira pada jam 1.00 pagi, tayar motorsikal pula bocor dan kami hampir terbabas. Kami terpaksa menuntun motorsikal tersebut, berpatah balik ke Petronas berhampiran, kira-kira lebih dari 1 Km. Dalam keadaan yang letih, mata yang mengantuk, hanya tawakkal pada Allah dan signboard Petronas itu yang menjadi penguat kami. "takpe, dah dekat dah," walaupun kami terpaksa berhenti sebanyak tiga kali untuk mengambil nafas. Sepanjang perjalanan beliau asyik memohon maaf. Kira-kira 100 meter dari Petronas tersebut, kami bertemu dengan seorang mekanik yang menwarkan bantuan. Alhamdulillah, walaupun terpaksa membayar RM30 dengan alasan sudah lewat, sekurang-kurangnya kami tidak perlu menunggu lama di situ, atau menyusahkan orang lain untuk mengambil kami. Dan kami sampai ke rumah dalam pukul 2.00 pagi. 

Mungkin kisah ini tidak sehebat kisah pejuang-pejuang yang mendekam di penjara, diseksa dan sebagainya. Tetapi, cuba bandingkan dengan keadaan diri kita. Adakah kita sudah cukup bersusah payah dalam perjuangan Islam? Adakah kita sanggup mengorbankan gaji yang lumayan, keselesaan dan kemewahan hidup semata-mata untuk perjuangan Islam? Benar, jihad ekonomi juga penting, tapi, jika semua orang berfikiran seperti itu, siapa yang akan menjadi penggerak (amilin) untuk menggerakkan perjuangan Islam? Dan adakah kita pasti kemewahan itu tidak akan melalaikan kita? 

Islam tidak akan rugi tanpa kita, tetapi, siapalah kita tanpa Islam.....

Wednesday, May 11, 2011

Ibrah itu perlu dicari

"Budak ni kalau dia tengok tikar, dia tak nampak tikar. Dia nampak benda lain", Lebih kuirang beginilah ayat yang diutarakan oleh seorang kakak apabila saya mengulas tentang suatu perkara (yang tidak lagi saya ingat apakah ia) beberapa waktu dahulu. "Dia ni, kalau explain mesti panjang lebar", kata ukhti yang lain pula. "awak ni, bahasa berbunga sangat, suka pakai analogi. Straight to the point je tak boleh?"

Err...salah ke apa yang saya buat? Maksud saya adakah cara saya (berdasarkan komen di atas) adalah satu perkara yang negatif?

Sikap saya yang sebenar adalah saya suka mengkaji. Dan apa yang kaji dan saya perhatikan itu akan saya kaitkan dengan kehidupan saya, agama saya, kerja harian saya dan apa sahaja yang sesuai untuk dikaitkan. Dan, satu lagi sikap saya, saya suka berkongsi apa yang saya tahu. Terutama jika ia berguna kepada orang lain. Sebagai contoh, dengan sedikit ilmu berkaitan perabot dan perkayuan, saya suka berkongsi tips berkenaan kualiti dan jenis-jenis kayu, supaya rakan-rakan saya tidak tertipu dengan auta tauke kedai perabot. Dan pada saya juga, ilmu bukan hanya berguna ketika di dewan peperiksaan. Manfaatnya menjangkaui lebih dari itu.

Saya agak mengagumi saudara Hilal Asyraf (langit ilahi) kerana gaya dakwahnya yang banyak dipetik melalui pengalaman kehidupannya sendiri. Dengan skill penulisannya yang sangat baik, setiap ibrah dan pengajaran dari kisah-kisah yang dihikayatkan, berjaya dihadam oleh pembaca.

Seperti seorang perisik yang perlu mahir membaca suasana, seorang daie' perlu bijak menganalisa dan memanipulasi suasana di sekelilingnya. Carilah nota-nota untuk silibus pelajaran kehidupan disekeliling kita. Mungkin ada formula penting yang sangat berguna dari sehelai daun yang gugur ke tanah, atau dari sebiji batu di tepi jalan.



  1. Allah-lah yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy, dan menundukkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu meyakini pertemuan(mu) dengan Rabbmu. (QS. 13:2)
  2. Dan Dialah Rabb yang membentangkan bumi dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai padanya. Dan menjadikan padanya semua buah-buahan berpasang-pasangan 765, Allah menutupkan malam kepada siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan. (QS. 13:3)
  3. Dan di bumi ini terdapat bagian-bagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanaman-tanaman dan pohon korma yang bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebagian tanam-tanaman itu atas sebagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir. (QS. 13:4)

Friday, April 8, 2011

silibus kehidupan

Saya belajar sesuatu hari ini. Semasa mengendalikan usrah untuk pelajar Sri Pintar. Apa yang saya pelajari hari ini adalah bahawa dalam usrah, kita belajar memahami agama, dan bagaimana untuk mengimplimentasikan (maaf saya tidak jumpa perkataan yang lebih mudah) agama di dalam kehidupan. Di dalam kelas, mereka belajar tentang Fiqh, asas fiqh dan sebagainya. Tetapi, dalam usia semuda mereka, sukar untk mereka mempraktikkan ilmu yang dipelajari itu di dalam kehidupan. Usrah membantu mereka untuk memandang Islam dengan lebih luas berdasarkan huraian yang diberikan oleh naqib atau naqibah melalui penjelasan yang bersifat kontekstual (wqi'iah) iaitu bersesuaian dengan kematangan dan tahap pemikiran mereka.

Namun, apa yang membimbngkan saya adalh sekiranya saya tidak mampu berperanan sebagai naqibah yang efektif. Setiap contoh dan penjelasan yang diberi perlu selari dengan tahap pemikiran mereka. Masalahnya adalah sekiranya penjelasan dan huraian saya terlalu advance sehingga lari dari konteks kehidupan mereka sebagai pelajar sekolah.

Bagi mereka, setakat ini, usrah adalah tempat mereka menimba ilmu tentang kehidupan yang disampaikan secara santai. Jika di dalam kelas mereka belajar tentang agama Islam, dalam usrah pula mereka belajar bagaimana untuk hidup dengan Islam sebagai seorang muslim.

Sekarang baru saya tahu mengapa usrah itu penting. Ramai kita dengar graduan pengajian Islam atau bekas pelajar sekolah agama yang berkarakter tidak seperti gelaran mereka. Ini kerana mereka hanya belajar tentang agama Islam tetapi tidak tahu bagaimana untuk hidup dalam Islam sebagai seorang muslim.

Ini hanya sekadar perkongsian tentang silibus kehidupan yang saya pelajari hari ini. Tidak semestinya betul malah mungkin juga salah.

Wallahualam

Tuesday, March 22, 2011

Saturday, January 15, 2011

Cukup Tawakkalkah Kita??????

Salam sayang buat ikhwah dan akhowat sekalian...

Baru sahaja pulang dari mendapatkan rawatan alternatif. Agak penat tapi terasa ingin sangat berkongsi sesuatu di sini. Kebetulan laptop pinjam ini sedang menyala tanpa pengguna jadi saya singgahlah dahulu.

Seperti yang saya beritahu tadi, saya baru sahaja pulang dari mendapatkan rawatan alternatif untuk masalah kesihatan saya. Ini merupakan rawatan kali kedua di tempat yang sama, dan entah yang keberapa jika termasuk di tempat lain. Apa yang ingin saya kongsikan di sini adalah kata-kata orang yang merawat saya itu. Beliau menuturkan kata-kata ini semasa sesi rawatan yang pertama. Katanya," Saya hanya berusaha membantu, tapi Allah yang sembuhkan," mungkin ayat ini biasa kita dengar apabila menjalani sesuatu rawatan.
Tetapi sejauh mana kita memahami apa yang ingin disampaikan melalui ayat seperti ini? Apa yang saya fahami melalui ayat-ayat seperti ini adalah supaya kita BERTAWAKKAL. Konsep tawakkal yang saya fahami melalui ayat ini adalah seperti berikut:


  1. Yang berkuasa memberi itu, tidak kira kesembuhan, rezki atau sahaja yang dapati, samaada baik atau buruk itu adalah hanya Allah semata-mata. Sedang makhluk itu hanya perantara manakala kejadian itu hanya asbab itu Dia memberi. Pada saya, perawat itu tidak akan mampu membantu menyembuhkan penyakit tanpa keizinan Allah SWT. Sebaliknya, beliau hanyalah merupakan wasilah (alat) untuk menyembuhkan penyakit itu. Contohnya, untuk memotong sehelai kertas, kita mungkin boleh menggunakan gunting. Hakikatnya yang memotong kertas itu kita sedang alat yang digunakan adalah gunting. Boleh sahaja kita menggunakan alat yang lain seperti pisau dan sebagainya tetapi kita hendak menggunakan gunting. Hakikatnya Allah yang menyembuhkan dengan memilih perawat tersebut sebagai alatNya.
  2. "saya sudah berusaha berubat kemana-mana, tapi masih tidak sembuh juga," "ustaz tu penipu je. Saya pergi berubat dengan dia tak ada perubahan pun," Ini adalah antara ayat yang selalu kita dengar, malah kadangkala kita yang berkata sedemikian. Sebenarnya, ianya masih berkait dengan pandangan saya yang pertama tadi. Hanya Allah yang Maha Pemberi. Ada orang bertanya saya, "selepas buat fisio pun tak ok juga? Habis tu bila nak baik," dengan izin Allah, maka terkeluar ayat ini dari mulut saya," Bila-bila Allah nak bagi baik, baiklah nanti." Memang Allah yang menyembuhkan tetapi bukan bermakna kita tidak perlu berusaha. Mungkin kita belum bertemu dengan orang yang ditaqdirkan dan diizinkan Allah untuk membantu kita. Jadi, teruskan mencari.
  3. Selain itu, pada pendapat saya, mungkin sakit itulah yang terbaik untuk kita. Allah akan memberi apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu. Mengapa kita perlukan sakit? Untuk mengingatkan kita tentang kematian! Banyak kali saya terdetik di dalam hati ' aku ni dah nak mati ke?' terutama apabila merasa sesak dada (kerana gangguan) atau belakang saya terlalu sakit. Apabila ada lintasan sedemikian di dalam maka secara tidak langsung kita akan memuhasabah diri kita, amalan kita, dosa kita, apakah kita sudah bersedia untuk mati? Di kala itu, mungkin saya perlukan sakit itu sebagai asbab untuk saya mengkoreksi diri, memohon ampun kepadaNya, dan bertaubat. Dan, mungkin Allah ingin menaikkan darjat kita dengan pahala sabar dan zikir-zikir kita kepadaNya. Lebih kurang artikel berkenaan menstruation pain yang saya kongsi sebelum ini. Sahabat saya pernah berkata,"Allah rindukan enti, sebab itu Dia menguji enti. Dia rindu suara sang hamba yang meratap merayu kepadaNya." Jangan bersangka buruk dengan Allah dengan beranggapan bahawa Allah tidak ingin menyembuhkan kita untuk menyeksa kita. 
Sama juga dalam konsep perjuangan dalam gerakan Islam. Kita sibuk mempertikaikan faktor kekalahan, menyalahkan dasar, polisi, menuding jari kepada orang-orang tertentu, dan sebagainya. Tetapi dalam masa yang sama kita terlupa kemenangan itu hak Allah. Kita hanya berusaha sahaja. Natijah kemenangan itu pemberian Allah, berdasarkan kesungguhan kita dalam berusaha. DAn tiadalah usaha yang paling utama, yang akan dipandang Allah melainkan untuk mencapai redhaNya. Apalah erti kemenangan jika harakah Islam berpecah belah, sesama ahli jamaah bertikam lidah, hentam menghentam. Mungkin kita menang, tetapi adakah redhaNya bersama dengan kita? 

Saya teringat kata-kata seorang ahli ibadah (maaf saya terlupa namanya) yang berkata lebih kurang begini,

"Sekiranya sakit ini mampu membuatkan Engkau redha kepadaku, maka aku akan rela terus hidup dalam penderitaan ini. Jika nerakaMu mampu membuatkan Engkau redha dengan diriku, maka aku rela dicampakkan ke sana, asalkan Engkau redha kepadaku."

*Kata-kata ini saya dapati dari buku terjemahan karangan Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah. 

Akhirnya, sama-samalah kita mengkoreksi diri, cuba memperbetulkan konsep tawakkal dalam hidup kita dengan pemahaman yang sebenar. Semoga perkongsian kali ini bermanfaat untuk kita bersama. 

Wallahualam

Friday, December 31, 2010

mengapa dengan dakwahku??

Mengapa kadangkala aku rasakan dakwahku sukar, jalannya payah, mehnahnya banyak, durinya tajam dan jalannya penuh liku? Mengapa amat sukar untuk ku dekati mereka yang memerlukan sentuhan tarbiyyah dalam diri mereka? Mengapa begitu keras hati mereka? Begitu dingin layanan mereka, begitu payah untuk mendekati mereka? Apa cara ku salah? Atau mereka yang tergolong dalam orang-orang yang hati mereka telah dihijab oleh Allah? Tidak! Sesungguhnya siapa aku untuk menilai mereka? Siapa aku untuk mengatakan mereka golongan yang disingkir Allah dari pintu rahmatNya? 

Jika bukan itu faktanya, apa sebenarnya yang menjadi hijab dakwahku? Mengapa mereka tidak memperdulikan aku? 

Ku duduk merenung diri. Satu persatu ingatan kuputar. Mengimbas kembali detik demi detik perjalanan dakwahku. Ku selak helaian waktu, satu persatu. Dengan zikir, dan fikir, ku jejak kembali tapak-tapak langkahku. Bermula dengan peristiwa-peristiwa lalu, ku kaji segenap penjuru. Bermula dengan niatku melangkah ke situ. Untuk apa aku berada di situ? Adakah kerana nama dan sanjungan? Atau kerana kehadiran si dia yang menarik perhatian? Atau kerana aku punya kelebihan yang ingin ku pamerkan? Apa sebenarnya matlamat ku ketika memijak langkah yang paling pertama itu? Di situ banyak ku temui kekeliruan. Banyak matlamatku yang samar. Bercampur aduk antara kepuasan diri dan redha ilahi. Kutemui jawapan yang pertama.....mengapa dengan dakwahku.....

Ku selam lagi ke dasar nurani. Apa lagi yang lompong dalam dakwahku? Ku singkap bab seterusnya, bagaimana hubungan ku dengan keluargaku. Baru ku tersedar, masa ku lebih banyak di luar. Bersama sahabat-sahabat menyeru masyarakat. Sedang keluargaku, terpinggir dari lingkungan dakwahku. Sedang pesan Imam Hassan Al-Banna, dakwah yang paling dekat adalah dengan keluarga mu. Sedang keluargaku amat sederhana dalam beragama. Ibu bapa ku bukan seperti orang tua As-syahid Ibnu Khattab yang tegar berpisah berbelas tahun dengan anaknya kerna yakin anaknya sedang memburu syurga. Sedang redha Allah padaku adalah atas redha mereka......Astaghfirullah....

Ku cari lagi kelemahan diri. Bab seterusnya tertera dalam benak ku, hubunganku sesama muslim. Tidak sedikit ku sakiti hati sahabatku. Tidak kurang yang ku umpat dan ku keji. Prasangka buruk berlegar di hati, nyanyian syaitan yang dengki. 

Di penghujung kajian, ku telaah bab terakhir, kunci segala persoalanku. Bab terpenting dalam merungkai persoalan, mengapa dengan dakwahku. Bab hubunganku dengan penciptaku. Berapa banyak dosa ku yang kadangkala ku sedari? Tidak termasuk yang tidak ku sedari. Dari mana sumber rezki ku? Bagaimana solat fardhu ku? Apatah lagi amalan sunatku? Dimana syukurku ketika senang? Berapa banyak keluhan dan rungutanku ketika sukar? Sekuat mana kebergantunganku padaNya? Dan banyak lagi persoalan-persoalan yang tidak terjawab oleh hatiku, apatah lagi akal pendekku. Yang menyedarkan aku bahawa diri kerdil dengan segala pinjaman nikmat ini bukan siapa-siapa. Yang membuatku bertanya dan terus bertanya, layakkah aku bergelar Daie, pewaris perjuangan nabi? 

Dengan segala jawapan ini, dengan segala hakikat kelemahan ini, pasti akan terasa diri ini sangat tidak layak untuk berada di sini. Tetapi ini tidak bermakna aku harus berhenti, mengundur diri, atau lari dari jalan ini. Allah telah memilihku, jadi aku harus memperbaiki diriku. Harus menampal apa yang lompong, menjahit apa koyak, menambah apa yang kurang dan mengurang apa yang terlebih. Jalan ini tidak mudah, kerna jalan ini jalan ke syurga.......

Mama, I'll be home soon.....insyaallah

Wednesday, December 29, 2010

saat itu akan tiba

saat waktu itu tiba
tiada siapa dapat meneka
tiada tangan dapat membantu
tiada saudara dapat menolong

saat waktu itu tiba
nafas tersekat dikerongkong
tiada lagi harta menimbun
tiada lagi keluarga tempat bergantung

tua bukan syaratnya
sakit hanyalah asbab semata
nyatanya
saat waktu itu tiba
segala sesal tiada guna
segala taubat tidak diterima

kini baru tersedar
diri ini bukan siapa-siapa
umur usia yang dipersia
harta keji yang terdampar
hanya menjadi beban semata

wahai jasad yang tidak bermaya
kakulah kau di lahad sana
sedang roh yang derhaka
tunggulah datangnya mereka
untuk menyeksa
sedang mereka yang setia
berehatlah kau di alam sana
sementara menunggu janji Tuhan mu yang Maha Esa

Followers