About Me

My photo
shah alam, selangor, Malaysia
seorang manusia biasa, yang berusaha membuat sesuatu yang laur biasa. seorang pelari yang sedang berlari di sebuah trek kehidupan. aku mungkin tidak mampu menjulang senjata, menyumbang emas permata. namun yang ku tahu aku ingin mati sebagai pejuang agama, dalam tekad untuk memburu redhaNya

Tuesday, December 7, 2010

Reward Vs Punishment

Dalam sebuah kehidupan, kita tidak pernah terlepas dari diuji. Ada pelbagai tanggapan tentang ujian. Manusia yang subjektif sifatnya selalu menafsir hidup mereka dengan definisi yang berbeza. Dalam menanggapi suatu permasalahan, pelbagai reaksi mungkin timbul hasil dari definisi yang pelbagai ini. 

Cara manusia menghadapi sesuatu musibah atau permasalahan itu sangat bergantung kepada kondisi hatinya. Manusia juga selalu menilai sesuatu perkara menggunakan konsep reward and punishment. Kebiasaannya sesuatu musibah itu akan dianggap sebagai punishment manakala keuntungan atau kesenangan itu dianggap sebagai reward. Kondisi ini akan berlaku kepada mereka yang hatinya rapuh dan jauh dari tuhan. Bagi mereka yang hatinya kuat dan punya hubungan baik dengan Tuhan, mereka akan menanggapi situasi ini dengan tanggapan yang sebaliknya. Konsep punishment and reward itu diaplikasi dengan cara yang berbeza. Untuk memastikan samaada sesuatu perkara itu adalah ganjaran atau hukuman adalah berdasarkan kepada cara mereka mennghadapi sesuatu situasi. Bukan berdasarkan situasi itu sendiri. Sekiranya situasi itu dihadapi dengan cara yang betul maka mereka akan mendapat ganjaran, tetapi sekiranya mereka menghadapinya dengan cara yang salah, maka hukuman yang akan mereka perolehi. 

Sebagai contoh, seseorang yang diuji dengan suatu penyakit. Bagi mereka yang rapuh hatinya pasti akan menganggap penyakit itu merupakan suatu hukuman atau punishment. Dan biasanya mereka akan menghadapinya dengan tanggapan yang negatif, berputus asa, hidup dalam kemurungan, malah ada sanggup membunuh diri tidak mampu untuk menghadapi punishment itu. Sebenarnya, apa yang mereka hadapi itu bukanlah hukuman yang sebenar. Sebaliknya mereka yang menghukum diri mereka dengan sikap putus asa dan kemurungan itu. Berlainan pula dengan mereka yang hatinya dekat dengan Allah, akan menghadapi penyakitnya itu dengan ketabahan dan kesabaran yang akhirnya mungkin akan menyebabkan dia sembuh dari penyakit itu. banyak kajian yang menunjukkan bahawa penawar bagi kebanyakan penyakit bukanlah ubat-ubatan mahupun pembendahan, sebaliknya hati yang cekal dan jiwa yang tabah serta semangat juang yang tidak pernah luntur adalah penawar yang paling mujarab. Bukankah kesembuhan itu merupakan satu anugerah yang amat berharga manakala kesengsaraan akibat putus asa itu merupakan hukuman yang dijatuhkan oleh diri pesakit itu sendiri? Malah selain dari kesembuhan, pesakit yang diuji itu juga akan memperolehi ganjaran-ganjaran yang lain seperti sahabat yang memahami, perubahan sikap yang lebih positif, dan yang paling penting dapat memperbaiki hubungannya dengan Allah. Dan sebaliknya berlaku ke atas mereka yang berputus asa malah kadangkala menyalahkan Tuhan dan mempersoalkan takdir. Bukan sahaja masalah mereka tidak selesai malah mereka akan mendapat murka Allah di dunia dan akhirat. Apatah lagi sekiranya mereka mati dalam kesesatan. Nauzubillahi min zalik....

Ada seorang sahabat pernah berkata kepada saya; "Bila kita diuji Allah, kita biasanya akan leka dengan emosi saat kita diuji. Sedih, marah, kecewa, gembira dan lain-lain. Kadang-kadang tak terfikir pun yang sepatutnya kita kena cari ibrah dan hikmah ujian itu bila ujian itu datang pada kita. Walaupun bila orang lain diuji, kita dah biasa pun ingatkan orang lain untuk cari ibrah dan hikmah disebalik ujian tu. Tapi, bila ujian tu kena pada kita, kita macam tergamam dan tak boleh berfikir dah....." 

itulah fitrah manusia yang serba lemah. Namun dengan secebis iman yang masih bersinar di hati, insyaallah manusia itu akan kembali juga untuk mengadu kepada Tuhannya. Tuhan yang sentiasa menguji hambanya. 

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji?Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (-Surah Al-Ankabut ayat 2-3) ..


Sahabat
Ujian itu dari Allah
Dan penyelasaiannya ada padaNya
Jika kau gusar
Mengadulah padaNya
Jika kau sakit
Merintihlah padaNya
Jika kau gembira
Bersyukurlah padaNya
Jika kau tersalah
Mohon ampunlah padaNya

 “Dan Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka katakanlah sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan doa orang yang memohon apabila ia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi (panggilan/perintah)Ku, dan beriman kepadaKu agar mereka mendapat petunjuk (bimbingan)”.(Al-Baqarah: 186)


No comments:

Followers