About Me

My photo
shah alam, selangor, Malaysia
seorang manusia biasa, yang berusaha membuat sesuatu yang laur biasa. seorang pelari yang sedang berlari di sebuah trek kehidupan. aku mungkin tidak mampu menjulang senjata, menyumbang emas permata. namun yang ku tahu aku ingin mati sebagai pejuang agama, dalam tekad untuk memburu redhaNya

Thursday, March 22, 2012

Koleksi Gula-gula

Salam alaik...

Hari ini bertandang ke Klinik Ortopedik HTAR Klang. Kali ini sampai 3 orang doktor yang mengadap fail saya seorang. Kasihan dengan pesakit yang lain kerana mencuri masa mereka. Tapi yang bagusnya pada hari ini adalah ketiga-tiga orang doktor itu adalah doktor senior yang berpengalaman. Bukan doktor-doktor muda yang akan menyuruh saya mengulang cerita yang sama berulang kali (tapi adalah juga soalan 'what is your problem' tu) walaupun medical report itu ada ditangan mereka. Dan antara yang menarik adalah salah seorang doktor tersebut dapat mengesan keganjilan yang terdapat pada Lumber yang tidak 'menarik perhatian' doktor-doktor lain sebelum ini. 

Penerangan yang diberikan juga lebih jelas dan terperinci berbanding sebelum ini. Mungkin kerana hari ini saya datang dengan 'pengiring' (hmm....ada kaitankah, Teacher?). Tapi saya turut disuruh menjalani semula rawatan fisioterapi yang telah dihentikan sebelum ini. Walaupun saya memberikan alasan bahawa ahli fisioterapi telah pun mengajar cara senaman yang betul (tapi sebenarnya saya tidak pun mengamalkannya :p) tetapi kata doktor tersebut ahli fisioterapi itu lebih tahu cara yang betul. Dan menurut preskripsi yang diberikan, mereka menambah satu lagi terapi iaitu ultrasound therapy menggantikan electrotherapy yang dijalankan sebelum ini. 

Dan seperti biasa, kerana kesemua 'gula-gula' yang diberikan sebelum ini tidak berkesan, mereka memberikan saya sebeban 'gula-gula' baru, bekalan untuk 6 bulan akan datang. Melihatkan kepada banyaknya jenis 'gula-gula' yang telah ditukar sebelum ini, saya katakan pada mereka bahawa saya boleh membuat satu senarai koleksi 'gula-gula' dari Klinik Ortopedik HTAR ini. Jadi, ini adalah senarai 'gula-gula' saya setakat ini setakat yang saya ingat: 

1) celebrex 200mg
2) etoricoxib 60 mg
3) vitbion forte tablet
4) diclofenac sodium 50 mg
5) eperisone HCL 50 mg
6) Paracetamol 500 mg (yang ini semua tahu kot) - yang terbaru
7) meloxicam 7.5 mg - yang terbaru

(cukup 7 jenis, macam Dragon Ball (^_^) )


Sebenarnya ada lagi 'gula-gula' lain yang diberikan oleh Jabatan Kecemasan dan klinik lain yang saya kunjungi tetapi yang di atas adalah yang masih saya ingat setakat ini kerana ada yang tidak ambil pun di farmasi. Dan itu belum lagi termasuk suntikan-suntikan, berjenis-jenis krim atau gel dan plaster yang juga silih berganti.

Ibrah


Setiap orang diuji dengan ujian yang berbeza. Saya diuji dengan scoliosis dan hypermobility syndrome. Tetapi orang lain diuji dengan perkara berbeza. Saya bersyukur sekurang-kurangnya masalah yang saya alami ini tidak sampai mengancam nyawa, tidak seperti sakit jantung mahupun darah tinggi. Dan, seperti yang kita semua tahu bahawa kesakitan itu adalah peluang pahala bagi yang tahu merebutnya kerana ianya akan mengkifarah segala dosa, disamping mengingatkan kita tentang kematian. Kepada sesiapa yang biasa berkunjung ke klinik-klinik atau wad ortopedik, pasti akan tahu betapa ngerinya melihat besi berceracakan di kaki dan tangan, pemandangan yang sangat sinonim di jabatan tersebut. Pernah pada suatu ketika, saya melihat ada seorang lelaki yang dipasangkan besi di kepalanya, ianya kelihatan sangat menyakitkan dan menyusahkan. Allahurabbi....sangat menginsafkan bagi diri yang kurang bersyukur ini. Berkunjung ke hospital adalah satu terapi yang baik untuk hati, sama dengan kita menziarahi tanah perkuburan kerana ianya mengingatkan kita tentang kematian dan rasa bersyukur. 

Selain itu, ujian yang ditimpakan ke atas saya ini secara tidak langsung merupakan ujian kepada orang lain juga. Sesiapa sahaja yang diuji dengan masalah kesihatan amat memerlukan sokongan dari orang lain kerana bebanan emosi yang ditanggung. Sekurang-kurangnya untuk mendengar rintihannya ketika sakit. Alhamdulillah kerana di sisi saya sentiasa ada 'malaikat-malaikat' yang dihantar Allah untuk membantu. Jazakmullahu khairan jazak.... Terima kasih atas bantuan, doa dan kata-kata semangat yang tidak pernah putus dari kalian, yang menyebabkan manusia yang hampir terjatuh ke dalam jurang ini selalu untuk cuba naik semula dan meneruskan kehidupan. Semoga segala pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit dan sebagainya membuahkan pahala di sisi Allah. Amin...insyaallah.


only a creation created by the almighty creator

No comments:

Followers