Baru sahaja selesai membantu pelajar lelaki tingkatan satu dalam study group mereka. Tempatnya di padang permainan di belakang Surau Al-Islah. Sepelaung sahaja dari rumah saya. Beria-ia mereka memohon maaf kerana mengambil masa saya. Saya katakan pada mereka saya tidak kisah malah saya lebih suka meluangkan masa bersama mereka daripada membiarkan mereka berpeleseran entah di mana. Tetapi setakat ini pelajar lelaki tingkatan satu tidak merisaukan saya. Pelajar perempuan pula hanya dua orang sahaja yang insyaallah masih terpelihara dari anasir negatif dan kebejatan sosial masa kini.
Yang amat merisaukan saya adalah keadaan pelajar tingkatan dua. Yang saya kira agak membimbangkan. Saya hanya mampu tersenyum apabila seorang pelajar saya berkata, "Teacher jangan beranak sekaranglah. Tunggu Islam tegak dulu kat Malaysia ni. Susah teacher nak besarkan anak sekarang," tetapi apabila melihat keadaan pelajar-pelajar saya, ditambah pula dengan pemandangan-pemandangan di pusat-pusat membeli-belah, taman-taman malah, di mana sahaja, saya mula terfikir akan kebenaran kata-katanya. Suka saya memetik kenyataan saudara Bob Lokman apabila ditanya mengapa beliau berubah; beliau menjawab bahawa didapati anaknya mengahadapi masalah dengan sistem kehidupan. Beliau menyuruh anaknya bersolat ketika di rumah. Tetapi, apabila berada di luar, ada kumpulan yang lain yang menyuruh anaknya melakukan perkara yang lagho.
Inilah realiti pada masa kini. Membesarkan anak-anak tidak sesukar mendidik anak-anak. Apa bezanya membesarkan dan mendidik ana? Jawapannya, apa beza memelihara anak lembu dengan memelihara anak manusia? Memelihara anak lembu cuma perlu memastikan ia diberi makan yang cukup, membesar dengan subur lalu dijual apabila sudah cukup matang. Cuba kita, adakah begitu cara kita memelihara anak kita? Pastikan keperluan material mereka mencukupi, makan pakai yang baik, pendidikan akademik yang bagus, kemudia, "menjual" mereka di pasaran pekerjaan. Tidakkah ianya sama dengan membesarkan anak lembu tadi? Itulah makna membesarkan.
Apa pula bezanya dengan mendidik? Jika membesarkan hanya mengambil kira aspek fizikal dan material anak semata-mata, mendidik pula turut menembusi aspek pembentukan rohani dan spiritual anak itu. Bagaimana pentarbiyahan anak itu, samaada di rumah mahupun di sekolah, malah di mana sahaja. Keadaan sekelilingnya sangat mempengaruhi perkembangan rohani anak-anak. Kita selalu risau akan kesihatan fizikal anak-anak itu tetapi, pernahkah kita mengambil tahu akan kesihatan rohani mereka? Sekiranya tidak maka apa bezanya anak kita dengan anak lembu?
Apa yang saya perhatikan kini, ibu bapa terlalu mementingkan metrial, karier dan kecemerlangan akademik semata-mata.Begitu juga corak pendidikan di sekolah-sekolah, terutamanya di sekolah kebangsaan. Saya mempunyai suatu tanggapan negatif berkenaan sekolah kebangsaan berdasarkan pemerhatian terhadap keadaan para pelajarnya dan juga sikap guru-gurunya. Terutama di bandar-bandar.
Ingin saya huraikan isu ini dengan lebih mendalam tetapi saya agak kesuntukan masa. Seabarang cadangan, komen mahupun kritikan amat saya alu-alukan untuk isu ini. Anak-anak adalah amanah Tuhan. Bukan haiwan ternakan yang akan diperdagangkan.
Sekadar perkongsian dari seorang yang tiada pengalaman
No comments:
Post a Comment