Semalam saya dating dengan Cik Siti Sarah, bersama bakal abang ipar Encik Khairi. Orang belanja nasi ayam penyet di Padang Jawa. Usai makan, saya singgah untuk solat maghrib di Masjid Padang Jawa. Saya tunggu hingga Isyak sedang Cik Sarah berangkat pulang seusai solat maghrib.
Usai Isyak, saya duduk seketika menanti mesej dibalas oleh seorang sahabat. Tetapi, mesej saya tidak dibalas hingga ke sudah. Ketika penantian itu, mak cik-mak cik jemaah masjid sedang duduk mengadap talam kuih dan air teh o jamuan tahlil. Mereka mempelawa saya duduk bersama.
Maka perbualan pun bermula. Saya yang paling muda hanya mendengar perbualan mereka. Tak lama kemudian seorang demi seorang mula pamit kerana telah ditunggu oleh "bos" masing-masing. Akhirnya tinggallah saya bersama dengan mak cik yang mula-mula mempelawa saya tadi, dan seorang rakannnya. Dan taaruf pun bermula. Dia bertanya apakah saya masih belajar, kerja di mana, tinggal di mana dan sebagainya. Sejarah hidup saya dalam tiga tahun ini saya ringkaskan dalam perbualan lebih kurang 5-10 minit itu. Bermula dari diploma di mana, menyambung ijazah yang separuh jalan, menjadi pendidik, dan akhirnya berniaga. Malu rasanya apabila mak cik itu berkata, "cekal hati awak.." Kami berpisah setelah dia bertanyakan nama saya dan berpesan untuk berhati-hati menunggang motorsikal. Tidak lupa juga berpesan agar saya terus ke destinasi yang dituju memandangkan saya tidak pulang ke rumah, sebaliknya akan terus ke Rhaudatul Solehah.
Sepanjang perjalanan, Saya mengimbas semula perbualan kami. Ayat, "cekalnya hati awak'" itu terngiang-ngiang di telinga. Mak cik, kalaulah makcik tahu betapa rapuhnya hati saya ini, betapa lemahnya jiwa saya ini, entahlah.. Jika dapat digambarkan hati saya kala ini, seperti satu tubuh yang penuh berbalut bandage, bertampal plaster. Bertopang tongkat, aau mungkin berkerusi roda. Dengan tiub pernafasan untuk menyambung nyawa. Tetapi, kata-kata makcik itu sedikit sebanyak memberi satu cetusan positif kepada saya. Dengan segala apa yang telah saya harungi selama ini, mengapa mesti mengalah sekarang? Kata kak Didi, What doesn't kill you, only make you stronger.
Setibanya di Rhaudatul solehah, kelihatan sahabat-sahabat keluar dari rumah. Rupa-rupanya, malam ini ada halaqah. Mungkin saya terlepas pandang mesej di whatsapp. Di perkarangan Merbau, terlihat kelibat orang yang sangat dirindui, Kak Bie. Ketika berdakapan, saya bisikkan padanya, "tak nak lepas boleh tak?" Air mata memang tak dapat ditahan. Satu lagi cetusan positif membuak dalam diri. Bertukar cerita seketika, sebelum dia meminta diri untuk pamit.
Di dalam Merbau, Ustaz membicarakan tentang sunnah alam atau sunnatullah. Bilamana ummat Islam gagal menggunakan sunnatullah, maka ketika itulah ummat Islam kecundang, di tangan kuasa-kuasa kuffar yang mempergunakan sunnatullah. Salah satu dari sunnatullah adalah, setiap perkara memerlukan proses dan masa. Perjuangan, dakwah, perniagaan, segalanya. Sikap gopoh adalah bertentangan dengan sunnatullah. Saya cuba kaitkan konsep sunnatullah ini dengan apa yang saya hadapi sekarang. Buntu.
Akhirnya, selepas program, saya ambil masa sedikit untuk mendapat pencerahan yang lebih spesifik dengan situasi saya. Saya nyatakan tentang kekeliruan saya dalam memilih antara kehendak (passion) dan desakan persekitaran. Juga ketakutan saya untuk memulakan langkah baru selepas siri-siri kegagalan yang saya alami. Konklusinya yang saya kira saya fahami adalah, saya perlu balik kepada proses dn masa. Menilai semula proses sebelum ini dan mencari punca kepada kegagalan yang berlaku. Dan saya perlu menyerah kepada masa. Mungkin kerana kegopohan, ada langkah-langkah dalam proses yang telah saya langkaui.
Semalam, saya nampak kasih sayang tuhan. Selalunya, kita mengharapkan suatu yang kita rasa baik untuk diri kita. Tetapi Allah sering memberi apa yang terbaik buat kita. Paginya sedih, keliru dan buntu. Malamnya tenang, rasional dan damai. Itulah sunnatullah. QS 94 : 5-6.
only a creation created by the almighty creator
No comments:
Post a Comment