Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar...
Akhirnya, dapat juga kesempatan untuk mengemas rumah yang dah penuh dengan sawang ini. Allahu... rindu teramat sangat untuk mencoret manfaat di sini. Mengembalikan Sutera Jihad kepada tujuan dan "fitrah" asalnya.
Sibuk. Boleh dikatakan kebanyakan manusia pernah menggunapakai perkataan (atau alasan) ini untuk menggambarkan keadaan mereka. Dengan itu, mereka akan dapat menjustifikasikan setiap tindakan mereka agar kelihatan wajar. Hanya dengan satu perkataan, SIBUK.
Dan saya juga sedang menggunakan alasan sibuk, maka kerana itulah SJ ini terabai agak lama. Perkembangan terbaru, saya kini baru sahaja melangkah ke dunia baru, iaitu dunia perniagaan. Sebenarnya, saya telah pun melibatkan diri dalam perniaagaan sejak dari kecil lagi. Keluarga saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan di rumah. Daripada menjual minyak petrol (kerana dahulu stesen minyak terdekat adalah 10 Km dari rumah saya), buah-buahan ketika musim buah hinggalah produk jualan langsung. Ketika darjah 1, saya dan kakak berjual nasi lemak di sekolah agama. Ketika sekolah menengah kami berjualan nasi lemak dan kerepek yang dipek kecil-kecil. Jika tak silap saya sebungkus dalam 20-30 sen.
Tetapi, menguruskan sebuah perniagaan secara sepenuh masa tidak pernah menjadi impian saya. Pada saya, orang yang business minded ini ada sisi gelap yang tidak saya sukai. Mungkin kerana kebanyakan ahli perniagaan yang saya kenali adalah anak tarbiah sistem kapitalis bergigi emas yang dahagakan hasil keringat golongan bawahan. Yang memandang semua perkara dalam nilai matawang, profit dan margin. Yang setiap saat mencari ruang dan peluang untuk buat duit. Jika ramai orang berpendapat politik itu kotor, pada saya perniagaan tidak kalah kotornya.
Tetapi, kini, di sinilah saya melangkah. Dalam terpaksa, tanpa rela. Memperjudikan segala tabungan yang ada, yang disimpan bertahun-tahun untuk suatu impian, terpaksa dilaburkan untuk sesuatu yang tidak begitu pasti. Susah. Tekanan dari mental dan kerahan tenaga fizikal. Payah. Dengan modal yang kecil dalam keadaan ekonomi yang tragik. Perit. Apabila mengadu, jawapan yang diberi, "tiada apa yang mudah". Seolah-olah saya tidak punya hak untuk merasa sedih dan tertekan.
Namun, Alhamdulillah... masih ada yang sudi menjadi penguat. Bahu tempat menumpah air mata. Telinga yang mendengar keluh tangis. Yang berkongsi perit ketika rantai hadiah pertama ketika menjejak dunia dan rantai tangan titik peluh 3 tahun menjadi pendidik dicagar ke bank. Saya tidak sedih ketika melepas kedua barang itu kepada kakak pegawai Bank Rakyat di Shah Alam. Tiada setitis air mata yang jatuh ketika itu. Tetapi, saya sebak ketika orang lain yang menangis kerana itu. (macam menyesal pula bagi tau).
Mengalah. Itu perkara paling mudah. Tetapi, apabila mengenangkan, keadaan ekonomi umat Islam kala ini, saya jadi tidak sampai hati. Sahabat-sahabat saya memerlukan tempat untuk meletakkan produk mereka. Umat Islam kini pula diserang melalui pemakanan dan ekonomi. Produk halalan toyyibah pula kurang mendapat tempat di pasaran semasa.
Kerana itu, saya gagahkan diri. Saya tertekan, menangis hampir setiap malam. Tetapi, setiap kali mengenang keadaan ummat, dan harapan para sahabat, saya bangkit, walau tersungkur berkali-kali. Jualan pada hari pertama saya adalah sebanyak 40 sen dengan seorang pelanggan sahaja. Pun begitu saya sujud syukur padaNya. Itu rezeki. Sedang ada orang lain yang berlapar tanpa ada seteguk air pun untuk di minum. Alhamdulillah pada hari ini jualan meningkat kepada RM9.10 dengan 3 orang pelanggan. Moga perjuangan ini dikira Jihad di sisi Allah. KepadaNya segala pergantungan. Dia yang meletakkan saya di atas jalan ini. Dan Dia tidak akan mensia-siakan saya.
only a creation created by the almighty creator
No comments:
Post a Comment