About Me

My photo
shah alam, selangor, Malaysia
seorang manusia biasa, yang berusaha membuat sesuatu yang laur biasa. seorang pelari yang sedang berlari di sebuah trek kehidupan. aku mungkin tidak mampu menjulang senjata, menyumbang emas permata. namun yang ku tahu aku ingin mati sebagai pejuang agama, dalam tekad untuk memburu redhaNya

Sunday, October 7, 2012

Forum Politik Matang Menurut Perspektif Islam.

Salam ukhwahfillah...

Alhamdulillah. Semalam berkesempatan untuk menghadiri forum "Politik Matang Menurut Perspektif Islam " di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor. Forum ini dipengerusikan oleh Dr. Mohd Suffian (dari UM jika tidak salah saya) dan Dr. MAZA, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil serta Dr. Khairuddin At-Takiri selaku ahli panel.

Sebetulnya saya agak sukar memahami persoalan-persoalan yang cuba dibangkitkan oleh moderator kerana bak kata Dr. MAZA soalannya terlalu panjang. Atau mungkin juga saya terlalu letihsehingga saya kurang fokus. Saya sering bertanya pada rakan di sebelah, "apa soalan dia tadi?" untuk cuba mengaitkan hujah yang diutarakan oleh ahli panel dengan persoalan yang dibangkitkan. Tapi ternyata rakan di sebelah juga bersetuju iaitu soalannya terlalu panjang hingga tidak dapat untuk ditafsir apakah persoalan yang sebenarnya. Akhirnya, saya hanya mendengar dan menumpukan kepada ucapan panelis sahaja.

Saya tertarik dengan point yang diutarakan oleh Ustaz Hasrizal. Kata beliau, kita di Malaysia sangat kurang merujuk kepada sumber ilmu yang kontemporari dari sudut politik semasa. Kita masih lagi merujuk kepada karangan-karangan Mustapha Masyhur, Hassan Al-banna, Syed Qutb dan lain-lain yang diterbitkan 40 ke 60 tahun dulu yang mana kurang relevan pada masa kini. Tidak seperti di Turkey, yang mana karangan-karangan dari ulama kontemporari diterjemah dan disebarkan dengan begitu cepat. Dan ianya di baca oleh para pemuda seawal usia 16 tahun. Dan mereka juga tidak hanya menumpukan kepada karangan ulama-ulama Islam semata-mata tetapi juga turut mengkaji tulisan-tulisan ilmuan barat. Dan ini tidak berlaku di Malaysia. Bukan sahaja para pemuda Islam di Malaysia kurang membaca, malahan juga, bilangan sarjana yang betul-betul pakar dalam bidang politik, sejarah dan ketamadunan boleh dibilang dengan jari.

Sedangkan , untuk melahirkan satu suasana politik yang matang di sesebuah negara, memerlukan kepada pengkajian ilmu sejarah dan ketamadunan yang diadun dengan kebijaksanaan dalam strategi politik. Ini hanyalah keperluan untuk melahirkan suasana politik yang matang secara umum.

Bagaimana pula untuk menghasilkan suasana politik yang matang menurut persepektif Islam? Menurut Dr. MAZA, sebelum membicarakan tentang politik yang matang, terlebih dahulu adalah penting untuk mematangkan individu-individu yang terlibat di dalam kancah politik itu sendiri. Apabila kita membicarakan tentang isu politik, ianya akan menjurus kepada pemerintahan dan kuasa. Jadi adalah penting penguasa atau pemerintah untuk memahami tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Kuasa yang diperolehi bukanlah suatu kelebihan sebaliknya merupakan suatu tanggungan yang akan dipersoalkan di akhirat. Contoh yang diberikan adalah apabila Abu Dzar, seorang sahabat yang soleh meminta jawatan kepada Rasulullah. Tetapi Rasulullah menegur Abu Dzar dengan mengatakan bahawa beliau tidak mampu kerana jawatan itu merupakan sesuatu yang sangat berat.

Tapi, timbul persoalan di hati saya, bagaimana untuk memahamkan pemimpin yang tidak mahu mengikut lunas Islam dalam pentadbirannya sekiranya pemimpin yang mengaku Islam itu tidak yakin dan percaya dengan keupayaan Islam yang mampu mentadbir segala cabang kehidupan? Sedangkan keadilan hukum hudud yang boleh dikaji logiknya dari saintifik dan rasional sahaja ditolak, inikan pula untuk mempercayai tentang dosa pahala, syurga neraka yang sifatnya ghaib dan tidak boleh ditanggapi dengan akal dan logik?

Kesimpulan yang saya perolehi dari forum semalam ialah, untuk melahirkan suasana politik yang matang di negara ini, segalanya perlu dimulakan dengan ilmu, baik diperingkan pemimpin, mahupun rakyat marhaen di peringkat akar umbi. Jika para pemimpin perlu mengetahui mahir dalam strategi pentadbiran, rakyat jelata pula perlu tahu berkenaan cara dan ciri-ciri pemimpin yang perlu dipilih, serta hak-hak mereka dalam sebuah negara.


p/s
sudah lama tidak menulis tentang politik. Serasa banyak kekurangan di sana sini. Ditambah pula dengan kurangnya fokus semasa mendengar, akibat keletihan yang dikumpul dalam masa seminggu ini. Maka yang terhasil adalah perkongsian yang tidak seberapa ini. Moga bermanfaat pada semua. Insyaallah...

only a creation created by the almighty creator

No comments:

Followers