About Me

My photo
shah alam, selangor, Malaysia
seorang manusia biasa, yang berusaha membuat sesuatu yang laur biasa. seorang pelari yang sedang berlari di sebuah trek kehidupan. aku mungkin tidak mampu menjulang senjata, menyumbang emas permata. namun yang ku tahu aku ingin mati sebagai pejuang agama, dalam tekad untuk memburu redhaNya

Wednesday, October 24, 2012

From "Engaged" to "Married"

Saya menukar relationship status saya di muka buku daripada " engaged" kepada "married".

Sekian.

only a creation created by the almighty creator

Saturday, October 20, 2012

hari yang mendung

Menjalani hari-hari mendung dalam minggu ini. Semendung langit hati saya. Kelelahan, kesedihan, kehilangan, kesakitan dan kelesuan bergabung menjadi teman yang setia. Segaris senyum cuba menghalau kerisauan yang cuba menambah sesak di dada.

Bila kita mohon untuk kuat, Allah akan mendatangkan kekuatan berserta sebab untuk kita kuat. Bagi menunjukkan tahap kekuatan yang diberikan. Begitu juga dengan tabah dan sabar. Pasti didatangkan juga dengan sebab untuk tabah dan sabar.

Saya kuat. Itu saya tahu. Tapi sejauh mana kekuatan saya, itu yang saya tidak tahu. Adakah setegar pohon buluh yang tidak akan patah walau diterjah ribut dan taufan. Atau serapuh lalang yang menunduk tatkala disapa angin gemalai.

Saya selalu gagal untuk menenangkan orang lain. Terutamanya ahli keluarga sendiri. Nak pujuk orang, saya yang hujan lebih-lebih. Cengeng betul....

only a creation created by the almighty creator

Monday, October 15, 2012

Langkah

Mula mengorak langkah untuk sesuatu yang sangat bermakna. Membuka pintu permulaan kepada sebuah kehidupan asing. Kata kakak saya, " apabila sebelah kaki sudah mula menapak, yang sebelah lagi akan menyusul." Akan adakah langkah seterus? Hanya Allah yang punya jawapannya.


P/s
Akan bermusafir lagi esok. Perjalanan sejauh 51 km ditemani kuda perang kesayangan yan banyak berjasa. Semoga dia mampu bertahan. Mudahkanlah Ya Allah....

only a creation created by the almighty creator

Sunday, October 7, 2012

Forum Politik Matang Menurut Perspektif Islam.

Salam ukhwahfillah...

Alhamdulillah. Semalam berkesempatan untuk menghadiri forum "Politik Matang Menurut Perspektif Islam " di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor. Forum ini dipengerusikan oleh Dr. Mohd Suffian (dari UM jika tidak salah saya) dan Dr. MAZA, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil serta Dr. Khairuddin At-Takiri selaku ahli panel.

Sebetulnya saya agak sukar memahami persoalan-persoalan yang cuba dibangkitkan oleh moderator kerana bak kata Dr. MAZA soalannya terlalu panjang. Atau mungkin juga saya terlalu letihsehingga saya kurang fokus. Saya sering bertanya pada rakan di sebelah, "apa soalan dia tadi?" untuk cuba mengaitkan hujah yang diutarakan oleh ahli panel dengan persoalan yang dibangkitkan. Tapi ternyata rakan di sebelah juga bersetuju iaitu soalannya terlalu panjang hingga tidak dapat untuk ditafsir apakah persoalan yang sebenarnya. Akhirnya, saya hanya mendengar dan menumpukan kepada ucapan panelis sahaja.

Saya tertarik dengan point yang diutarakan oleh Ustaz Hasrizal. Kata beliau, kita di Malaysia sangat kurang merujuk kepada sumber ilmu yang kontemporari dari sudut politik semasa. Kita masih lagi merujuk kepada karangan-karangan Mustapha Masyhur, Hassan Al-banna, Syed Qutb dan lain-lain yang diterbitkan 40 ke 60 tahun dulu yang mana kurang relevan pada masa kini. Tidak seperti di Turkey, yang mana karangan-karangan dari ulama kontemporari diterjemah dan disebarkan dengan begitu cepat. Dan ianya di baca oleh para pemuda seawal usia 16 tahun. Dan mereka juga tidak hanya menumpukan kepada karangan ulama-ulama Islam semata-mata tetapi juga turut mengkaji tulisan-tulisan ilmuan barat. Dan ini tidak berlaku di Malaysia. Bukan sahaja para pemuda Islam di Malaysia kurang membaca, malahan juga, bilangan sarjana yang betul-betul pakar dalam bidang politik, sejarah dan ketamadunan boleh dibilang dengan jari.

Sedangkan , untuk melahirkan satu suasana politik yang matang di sesebuah negara, memerlukan kepada pengkajian ilmu sejarah dan ketamadunan yang diadun dengan kebijaksanaan dalam strategi politik. Ini hanyalah keperluan untuk melahirkan suasana politik yang matang secara umum.

Bagaimana pula untuk menghasilkan suasana politik yang matang menurut persepektif Islam? Menurut Dr. MAZA, sebelum membicarakan tentang politik yang matang, terlebih dahulu adalah penting untuk mematangkan individu-individu yang terlibat di dalam kancah politik itu sendiri. Apabila kita membicarakan tentang isu politik, ianya akan menjurus kepada pemerintahan dan kuasa. Jadi adalah penting penguasa atau pemerintah untuk memahami tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Kuasa yang diperolehi bukanlah suatu kelebihan sebaliknya merupakan suatu tanggungan yang akan dipersoalkan di akhirat. Contoh yang diberikan adalah apabila Abu Dzar, seorang sahabat yang soleh meminta jawatan kepada Rasulullah. Tetapi Rasulullah menegur Abu Dzar dengan mengatakan bahawa beliau tidak mampu kerana jawatan itu merupakan sesuatu yang sangat berat.

Tapi, timbul persoalan di hati saya, bagaimana untuk memahamkan pemimpin yang tidak mahu mengikut lunas Islam dalam pentadbirannya sekiranya pemimpin yang mengaku Islam itu tidak yakin dan percaya dengan keupayaan Islam yang mampu mentadbir segala cabang kehidupan? Sedangkan keadilan hukum hudud yang boleh dikaji logiknya dari saintifik dan rasional sahaja ditolak, inikan pula untuk mempercayai tentang dosa pahala, syurga neraka yang sifatnya ghaib dan tidak boleh ditanggapi dengan akal dan logik?

Kesimpulan yang saya perolehi dari forum semalam ialah, untuk melahirkan suasana politik yang matang di negara ini, segalanya perlu dimulakan dengan ilmu, baik diperingkan pemimpin, mahupun rakyat marhaen di peringkat akar umbi. Jika para pemimpin perlu mengetahui mahir dalam strategi pentadbiran, rakyat jelata pula perlu tahu berkenaan cara dan ciri-ciri pemimpin yang perlu dipilih, serta hak-hak mereka dalam sebuah negara.


p/s
sudah lama tidak menulis tentang politik. Serasa banyak kekurangan di sana sini. Ditambah pula dengan kurangnya fokus semasa mendengar, akibat keletihan yang dikumpul dalam masa seminggu ini. Maka yang terhasil adalah perkongsian yang tidak seberapa ini. Moga bermanfaat pada semua. Insyaallah...

only a creation created by the almighty creator

Thursday, October 4, 2012

Kerana Kasihku Padamu

Wahai insan-insan yang ku sayangi
Tak tergambar olehku
Betapa sayangnya aku padamu
Hingga jika boleh
Takku izin walau sekecil hama menjamah tubuhmu
Walau segaris kerut terlukis di wajahmu
Walau setitis air mengalir dari pelupuk matamu

Apatah lagi
Untuk membayangkan
Kau kehausan di dalam Saqar
Dibelasah Zabaniah di dalam Haawiyah
Meneguk cairan besi dan nanah
Meratah zaqqum berduri di dalam Jahannam

Mendengar keluhmu sahaja hatiku resah
Membayangkan rintihanmu di sana
Aku rebah

Wahai insan-insan
Yang amat, amat, amat ku sayangi
Andai dapat sakitmu, pedihmu, dukamu, sedihmu
Berpindah kepadaku
Dan tawaku, riangku, tenangku,
Ku berikan padamu

Wahai insan-insan
Yang amat, amat, amat ku cintai
Sebagaimana aku menginginkan syurga itu untuk diriku
Begitu juga inginku
Untuk ke sana bersama denganmu.....

"Jika kita sayangkan seseorang, mesti kita tak nak dia masuk neraka, kan?"

only a creation created by the almighty creator

Tuesday, October 2, 2012

Taklifan

"Sesuatu taklifan itu boleh dipandang dari pelbagai sudut. Pertama, ruang dan peluang untuk mendapat manfaat dan kebaikan sebanyak mungkin dengan kelebihan kuasa dan keistimewaan yang ada. Kedua, dapat dilihat sebagai segunung beban yang memaksa untuk dipikul tanpa mengira kemampuan individu yang memikul. Ketiga, dapat juga dilihat sebagai hamparan hikmah yang menjanjikan pahala seluas langit dan bumi. Segalanya, bergantung kepada sudut pandang individu".

Sudut pandang yang ketiga sangat menggiurkan mereka yang haloba dalam memburu redha dan cinta Allah. Teorinya mudah. Dengan menganggap segala taklifan yang dilaksanakan adalah ibadah dan Allah sebagai "majikan" maka, segalanya akan indah walau payah. Tapi itu hanya teorinya.

Sejujurnya, saya sedang berusaha, dengan segala susah payah, untuk mengubah sudut pandang saya yang terpatri pada sudut pandang kedua untuk beralih kepada sudut pandang ketiga. Jika mengikut kata emosi saya, taklifan yang ada kini bukan lagi seperti gunung yang menghempap. Tetapi seperti Matahari yang akan melanggar Bumi!. Dahsyat bukan? Jadi bagaimana untuk saya mengubah sudut pandang saya yang sangat negatif ini untuk menjadi positif? Terus terang, amat, amat, amat susah....

Tetapi, saya tidak mahu terus tenggelam. Hamparan hikmah itu perlu saya teroka. Bukan hanya untuk saya, tetapi untuk mereka yang akan berkongsi segala khazanah hikmah itu. Susah. Sangat, sangat, sangat susah. Payah. Tiada kata yang mampu menggambarkan. 

Tapi, perlukah saya mengalah? Setelah sejauh ini saya melangkah? Walau betapa payah saya rasakan langkah ini, adakah setaraf dengan pedih payahnya murabbi yang telah membuka jalan hikmah ini? Jauh. Teramat, amat, amatlah jauh. 

Jangan mengalah. Saya takkan mengalah. Ini jalan yang saya pilih sendiri. Yang dibuka dengan penuh tawakkal kepada Yang Memberi Petunjuk. Saya perlu terus memberi. Walau saya juga masih mencari. 

Sisihkan Ya Allah, sudut pandang pertama dan kedua. Jadikan saya hamba yang haloba dan tamak dengan redha Mu. Gantikan henyakkan beban ini dengan hamparan hikmah seluas langit dan bumi. 



only a creation created by the almighty creator

Followers